Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
AIR ITAM – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bakal melaksanakan Projek Pengindahan Tanah Lapang Briksa di tanah lapang yang sebelum ini diserahmilik pihak pemaju ketika pembangunan Bandar Baru Air Itam di sini.
Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha berkata, pelaksanaan projek di Farlim di sini bakal menjadikan tanah lapang berkenaan kepada dua buah taman mini untuk kegunaan penduduk tempatan.
“Majlis merancang untuk membangunkan dua taman tersebut berkonsepkan ‘taman urbanisasi’ dalam bandar.
“Tanah lapang Briksa ini merupakan satu-satunya taman di kawasan Farlim, maka, kita (MPPP) akan mengekalkan pokok-pokok teduhan besar sedia ada bagi mengindah dan memberi impak semulajadi di taman ini,” ujarnya pada sesi lawatan kerja ke tapak projek di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin.
Fasa Projek Pengindahan Tanah Lapang Briksa tersebut bakal disediakan dengan keperluan alatan senaman, laluan basikal, laluan pejalan kaki, pagar sempadan, lampu taman serta kerja tanah dan pembersihan.
Dalam pada itu, menurut Kon Yeow, tanah dengan keluasan kira-kira tujuh ekar tersebut bakal menjalani projek pengindahan membabitkan kos berjumlah RM649,930.00 dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.
“Langkah yang diambil MPPP untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai sebuah lokasi riadah adalah disambut baik.
“Keperluan tanah lapang sekitar 10 peratus seperti yang disyaratkan kepada pemaju seharusnya diuruskan dengan cekap bagi memanfaatkan orang ramai serta penduduk sekitar dari ia dibiarkan begitu sahaja,’’ ujar beliau.