Penduduk Flat Hijau gotong-royong basmi aedes

Admin

Oleh: AINUL WARDAH
SOHILLI

PULAU BETONG – Bagi mengelak penularan demam denggi, lebih 100 penduduk Flat Taman Hijau di sini terlibat dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar perumahan mereka baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata, peningkatan kes denggi sejak kebelakangan ini amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius.

“ Kawasan sekitar dilitupi sampah-sarap terutamanya menjadi faktor utama kepada pembiakan nyamuk aedes.

“ Sewajarnya , masyarakat mengambil inisiatif membersihkan kawasan kediaman masingm asing di samping bergotong-royong dalam usaha menggempur penularan denggi,” jelasnya selepas Majlis Perasmian Program Gotong-royong bersama Penduduk Flat Taman Hijau (Desa Genting) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya, Pejabat Tanah dan Derah Barat Daya dan persatuan penduduk.

Tambah Mohd. Tuah, langkah paling berkesan adalah dengan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes dan kepekaan masyarakat dengan kawasan kejiranan agar sentiasa bersih dan hijau.