Penduduk flat Taman Seri Damai bakal peroleh lif baru

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

KETUA Menteri (tiga dari kiri) berjabat tangan dengan Shukor Ali (kiri sekali) sambil disaksikan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi (dua dari kiri) sempena lawatan khas ke Flat Taman Seri Damai di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri (tiga dari kiri) berjabat tangan
dengan Shukor Ali (kiri sekali) sambil disaksikan
Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi (dua dari kiri)
sempena lawatan khas ke Flat Taman Seri Damai
di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Para penduduk rumah flat kos rendah blok 25, Taman Seri Damai, Batu Lanchang akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM150,666 bagi memasang lif baru di sini baru-baru ini.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, jumlah tersebut merupakan 80 peratus daripada jumlah sebenar kos pemasangan, manakala 20 peratus lagi akan ditanggung oleh para penghuni flat tersebut.

Katanya, pada tahun 2005 hingga 2006, kedua-dua lif flat berkenaan didapati sering mengalami kerosakan sehingga menyebabkan penduduk menghadapi kesukaran melakukan urusan harian. Satu daripadanya didapati langsung tidak boleh dibaiki akibat daripada kondisi yang begitu teruk, manakala satu lagi masih boleh digunakan walaupun dalam keadaan kurang memuaskan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Danny Law Heng Kiang yang bersama dalam lawatan berkenaan berkata, pada tahun 2007, IJM Corporation Berhad (IJM) telah membuat keputusan untuk menyerahkan pengurusan flat berkenaan kepada persatuan penduduk dengan syarat mereka perlu memasang lif baru ekoran kesukaran penduduk melakukan tugas harian mereka.

“Setelah berbincang dengan pihak IJM, kami telah bersetuju untuk membiayai kos sebanyak RM10,000 masing-masing bagi menampung kos pemasangan lif tersebut, manakala setiap unit rumah hanya perlu membayar RM150 bagi kos selebihnya,’’ ujarnya.

Sementara itu, menurut Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan flat, Shukor Ali, setiap blok mengandungi 192 unit rumah, di mana kira-kira 1,000 penghuni menetap di flat yang sudah pun berusia hampir 22 tahun.

“Kondisi lif di blok tersebut sangat membimbangkan penghuni yang terpaksa menaiki tangga sehingga tingkat 16. Lebih sukar apabila terdapat orang sakit yang memerlukan bantuan segera,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Kerja-kerja pemasangan lif baru di blok berkenaan akan mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk disiapkan. Setelah selesai, pemasangan lif baru akan disambung ke blok lain bagi membaikpulih keadaan lif yang sudah uzur dan tidak memuaskan.