Penduduk Kampung Contoh, Telok Ayer Tawar boleh mohon hak milik tanah – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Penduduk-penduduk Kampung Contoh dekat Telok Ayer Tawar yang masih belum menerima hak milik tanah boleh mengemukakan permohonan kepada Pentadbir Tanah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.

“Kerajaan Negeri menyambut baik syor yang dibangkitkan oleh YB. Teluk Air Tawar berkaitan pemberian geran tanah kepada penduduk Kampung Tersusun di Telok Ayer Tawar.

“Namun, berdasarkan kepada semakan semula Pejabat Tanah dan Daerah SPU mendapati bahawa pertanyaan merujuk kepada Kampung Contoh di Telok Ayer Tawar yang terletak di Mukim 9, SPU.

“Lot-lot tanah di kawasan tersebut adalah tanah milik dengan tempoh pegangan selama 60 tahun dan kebanyakan hak milik tersebut akan tamat pada tahun 2048,” katanya yang menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Azmi Alang.

Walau bagaimanapun, menurut Kon Yeow, isu berkaitan geran tanah pula adalah tidak berbangkit memandangkan penduduk di kawasan tersebut telah mempunyai hak milik tanah.

“Sekiranya terdapat penduduk yang masih belum menerima hak milik tanah atau pemilik tanah ingin melanjutkan tempoh pegangan, permohonan boleh dikemukakan kepada Pentadbir Tanah SPU untuk dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Negeri,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD