PERAI – Isu yang membelenggu lebih 289 keluarga di Kampung Manis dekat sini dilihat hampir menemui titik noktah apabila Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo menyatakan komitmen untuk membangunkan semula kampung tersebut.
Ketika ditemui Buletin Mutiara, rata-rata mereka meluahkan harapan agar projek pembangunan semula yang dirancangkan tersebut dapat direalisasikan secepat mungkin sekali gus memberikan kehidupan baru kepada penduduk di situ.
MUHAMAD ASYRAF, 31 tahun yang telah menetap di Kampung Manis sejak 16 tahun lalu menyokong penuh rancangan pembangunan semula tersebut yang dilihat mampu menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk penduduk setempat.
Walau bagaimanapun katanya, pembangunan yang dirancangkan tersebut haruslah memberikan manfaat secara langsung kepada penduduk seperti dibekalkan sebuah unit rumah secara percuma.
“Kami menerima cadangan (pembangunan semula) secara sebulat suara tetapi dengan bersyarat iaitu kami perlu diberikan seunit rumah secara percuma bagi menggantikan rumah sedia ada.
“Ini kerana kebanyakan penduduk sudah tinggal lama di sini yang mana ada di antara kami telah menetap lebih 70 tahun jadi kami amat mengharapkan perkara itu,” katanya sambil berharap agar pihak Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dapat bertolak ansur dengan penduduk di situ.
Harapan sama turut diluahkan K. SANTHADEVI, 48 tahun yang telah menetap di Kampung Manis sejak 50 tahun lalu.
Dia yang merupakan suri rumah sepenuh masa berkata bahawa persekitaran Kampung Manis yang sangat daif dan serba kekurangan dari segi fasiliti sememangnya memerlukan pembangunan semula demi kebaikan penduduk.
“Kami memang ada mendengar ura-ura mengenai projek pembangunan semula ini dan kami sememangnya setuju kerana dijanjikan sebuah rumah secara percuma.
“Lagipun, sudah banyak kali pihak berkaitan menghantar notis yang mengarahkan supaya kami berpindah dan sekiranya projek pembangunan semula tersebut dapat direalisasikan, kami penduduk memenag berasa sangat lega,” katanya.
Santhadevi berkata, keadaan Kampung Manis yang serba kekurangan terutamanya dari segi sistem saliran menyebabkan penduduk kerap berdepan masalah banjir kilat sekiranya berlaku hujan lebat.
“Bukan sahaja masalah banjir, kami juga sering berdepan dengan ancaman binatang berbisa seperti ular, kala jengking dan lain-lain terutamanya ketika cuaca hujan.
“Penempatan ini memang sudah lama jadi kami memang mengalu-alukan hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan semula kawasan ini,” ujarnya lagi.
SAMSUL BARIAH, 70 tahun dan abang ipar SAAD IBRAHIM, 75, pula menyifatkan projek pembanguna semula sebagaimana dirancangkan mampu memberikan kehidupan baru yang lebih baik buat penduduk Kampung Manis sekiranya berjaya direalisasikan.
Katanya, kebanyakan rumah di kawasan tersebut telah berusia lebih 75 tahun dan mengalami pelbagai masalah seperti dinding telah mereput serta kebocoran pada struktur bumbung.
“Lihat sendiri rumah kami, bumbung banyak sudah bocor menyebabkan kami tidak ada tempat hendak tidur apabila hari hujan kerana lantai akan basah.
“Keadaan ini sudah berterusan sejak lapan tahun lalu selepas suami saya meninggal dunia. Sejak itu dan kami sekeluarga hilang mata pencarian dan tidak mempunyai sumber kewangan untuk membaiki rumah yang rosak ini,” katanya sambil mengharapkan sedikit bantuan bagi membaik pulih bumbung daripada wakil rakyat setempat.
Sementara itu, M. RAJAM, 67 tahun yang telah menetap di Kampung Manis sejak lahir meluahkan rasa gembira sekiranya projek pembangunan semula tersebut dilaksanakan dengan jayanya.
“Sudah sekian lama kami tinggal di sini tetapi masih tidak mampu memiliki rumah sendiri…tambahan pula saya sudah tua sekarang dan tidak mampu lagi hendak membeli rumah baru.
“jadi saya melihat cadangan pembangunan semula ini sebagai satu peluang untuk saya dan keluarga memiliki rumah kami sendiri.
“Saya bersyukur kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui di mantan Ahli Parlimen Batu Kawan pernah membantu suami yang sakit terlantar di atas katil (bantuan kewangan dan kerusi roda),” katanya.
Turut ditemui G. KRISHNAVENI, 55 tahun yang juga tinggal di Kampung Manis sejak dari lahir.
Katanya, selain dihimpit kemiskinan, penduduk Kampung Manis juga kerap berdepan masalah banjir kilat ekoran sistem perparitan yang tidak sempurna.
“Banyak penghuni telah berpindah menyebabkan rumah-rumah yang ditinggalkan tersebut menjadi usang dan menjadi tempat pembuangan sampah-sarap selain habitat hidupan berbisa seperti ular.
“Malah, kawasan perumahan di sini tidak mempunyai ruang parker kerana persekitaranhya yang agak dan menyebabkan berlakunya masalah vandalisme seperti menconteng dan memancitkan tayar kereta.
“Justeru, cadangan pembinaan semula Kampung Manis memang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penghuni setempat.
“Selain unit rumah, kami juga berharap Kerajaan Negeri juga dapat menyedakan fasiliti ruang niaga supaya kami boleh berniaga untuk menyara keluarga selepas mendapat rumah baru kelak,” ujarnya penuh harapan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS