Penduduk Kampung Terus mahu pesta padi jadi acara tahunan

Admin

PESTA Padi Antarabangsa Pulau Pinang yang berlangsung dekat Kampung Terus, Penanti melabuhkan tirai dengan majlis perasmian penutup penuh gilang-gemilang yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, semalam.

Festival yang berlangsung selama tiga hari mulai 22 hingga 24 Julai 2022 itu pastinya memberikan kesan yang signifikan kepada negeri Pulau Pinang khasnya penduduk setempat terutamanya dari segi pelancongan dan ekonomi.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Terus, BAHARUDDIN ABDULLAH, 49, ketika ditemui berkata bahawa penganjuran pesta padi sememangnya telah mengangkat nama kampung itu ke tahap yang boleh dibanggakan.

Baharuddin Abdullah (empat dari kiri) turut memenangi Anugerah Perak bagi pertandingan binaan arca jerami padi sempena penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang yang berakhir semalam.

Katanya, Kampung Terus yang dahulunya merupakan sebuah kampung yang terpencil kini telah dikenali oleh pelbagai lapisan masyarakat sama ada dari dalam dan luar negeri.

“Saya jangkakan selepas ini, walaupun pesta padi sudah berakhir tetapi Kampung Terus akan tetap dikunjungi oleh pelancongan dari luar negeri secara berterusan kerana daya tarikan yang terhasil daripada penganjuran pesta padi sejak tahun 2018.

“Tambahan pula, perkhidmatan dua buah bot pelancong yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM200,000 akan terus beroperasi di Jeti Laman Padi Kampung Terus untuk membawa penumpang.

“Bahkan, 17 arca jerami padi yang dibina oleh para peserta pertandingan juga akan terus kekal di sini sebagai salah satu keunikan yang ada di kawasan ini dan bakal menjadi lokasi untuk pelancong beragambar kenang-kenangan.

“Sehingga hari ini, walaupun pesta padi sudah berakhir tetapi pengujung masih lagi tidak putus-putus datang ke sini untuk bergambar,” katanya sambil menambah bahawa kehadiran pengunjung ke pesta berkenaan selama tiga hari boleh mencecah 30,000 orang.

Baharuddin berkata, penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pelancongan domestik tetapi turut membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Saya dimaklumkan semua peniaga kecil berjaya menghabiskan barang jualan mereka sepanjang tiga hari pesta padi berlangsung dan saya sendiri sebagai peniaga mi udang di kawasan ini turut menerima manfaat yang sama.

“Saya kira ini merupakan perubahan yang positif kerana hampir separuh daripada peniaga kecil yang membuka gerai di tapak pesta adalah dalam kalangan penduduk kampung Terus dan kawasan sekitar.

“Walaupun tidak ada sebarang caj dikenakan kepada pengunjung untuk masuk ke laman padi tetapi aktiviti ekonomi secara tidak langsung pasti akan berjalan,” katanya lagi.

Justeru, beliau berharap agar pesta padi terus dijadikan sebagai acara tahunan di Kampung Terus yang kini sudah sinonim dengan penanam padi.

“Cuma beberapa penambahbaikan masih boleh dilakukan demi keselesaan pengunjung termasuklah pengurusan trafik dan ruang parkir yang lebih selesa,” katanya yang merupakan anak jati Kampung Terus.

Nada sama turut disuarakan oleh pemilik kedai runcit, JAAFAR AHMAD RIDHUAN, 50, yang menyatakan bahawa penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang berjaya mempromosikan Kampung Terus sebagai destinasi pelancongan popular kini.

Jaafar Ahmad Ridhuan.

“Sebelum pesta padi ini diadakan, tidak ramai orang yang tahu di mana Kampung Terus dan apa yang popular di sini tetapi kini semuanya sudah berubah.

“Walaupun selepas pesta padi berakhir, kami tetap menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara yang mana rata-ratanya ingin menikmati pemandangan indah di sawah padi dan mencuba perkhidmatan bot.

“Oleh itu, saya rasa pesta padi telah merancakkan kembali perniagaan kecil di sini dan pada masa sama kita dapat melihat dengan lebih dekat dan menghargai sawah padi sebagai khazanah berharga yang ada di negara ini.

“Dan saya berpendapat Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang perlu diteruskan pada tahun-tahun  yang akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, JALIAH SHARIFF OMAR, 47, yang merupakan peniaga kecil pula mencadangkan agar Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang diadakan lebih panjang berbanding tiga hari sebagaimana penganjuran empat edisi sebelum ini.

Jaliah Shariff Omar.

“Disebabkan sambutan yang diterima sangat menggalakkan untuk setiap edisi, maka saya rasa tempoh tiga hari mungkin tidak mencukupi.

“Oleh itu, lebih baik sekiranya ADUN Penanti Dr. Norlela Ariffin dan penganjur dapat melanjutkan tempoh masa penganjuran pesta padi untuk meningkatkan lagi popularitinya dan sekali gus menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

MUHAMAD RIZAL AMRI YAHAYA, 45, juruteknik, antara yang berkesempatan berkunjung ke Kampung Terus untuk menyaksikan keunikan 17 arca jerami padi yang dihasilkan.

Muhamad Rizal Amri Yahaya bersama anak-anaknya bergambar kenang-kenangan di hadapan salah sebuah arca jerami padi yang dipamerkan.

“Saya tinggal di Bayan Lepas dan ini merupakan kali pertama saya datang ke sini bersama anak-anak.

“Saya ada mendengar tentang pesta padi ini daripada rakan saya dan memutuskan untuk hadir dan saya gembira apabila melihat begitu ramai pengunjung lain yang datang untuk merasai pengalaman di sini.

“Pada pendapat saya, festival sebegini perlu diteruskan setiap tahun kerana ia boleh mempromosikan tempat dan negeri ini sebagai destinasi pelancongan popular,” ulasnya.

Sementara itu, SULAIMAN MD. ARIFF, 55, petani, mengakui bahawa Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang menyediakan pelbagai aktiviti dan program yang menarik.

Sulaiman Md. Ariff tidak melepaskan peluang bergambar dengan arca jerami padi.

“Saya harap mungkin untuk pesta padi yang akan datang, mereka boleh menganjurkannya di lokasi lain juga seperti di Sungai Acheh dan bahagian lain di pulau.

“Ini akan memberi peluang kepada penduduk tempatan di kawasan lain untuk melihat dan pergi ke festival sebegini kerana ia terletak sangat dekat dengan kediaman mereka.

“Festival sebegini juga boleh membawa impak ekonomi yang lebih baik kepada perniagaan tempatan dan seterusnya mempromosikan kawasan terlibat sebagai lokasi pelancongan seperti di Kampung Terus,” katanya.

Terdahulu, ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri membanjiri Kampung Terus, bagi menyaksikan pelbagai keunikan sempena penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang yang kembali diadakan secara fizikal pada tahun ini.

Pesta yang memasuki edisi keempat itu dianjurkan bersama oleh Pejabat Exco Agroteknologi, Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Antara keunikan yang dapat disaksikan pada penganjuran kali ini termasuk 17 arca jerami padi bersaiz besar, aktiviti menangkap ikan di tengah bendang, memanah, menunggang kuda dan kereta lembu, pameran dan pertandingan warisan padi, pertandingan boria, lawan bola dalam bendang, aktiviti riadah, sepak raga, larian Sungai Penanti serta banyak lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR