Gambar : LAW SUUN TING
BATU MAUNG – Sejumlah 42 keluarga di Kampung Permatang Tepi Bendang menerima surat tawaran pembelian rumah kos rendah bernilai RM42,000 seunit di pangsapuri Ara Green, Jalan Kampung Batak di sini baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, penyampaian tersebut adalah melibatkan penduduk di Lot 211 dan Lot 1405, Mukim 12, Permatang Damar Laut.
“Penyerahan surat tawaran ini adalah sebahagian daripada pampasan bagi projek pembangunan semula di kawasan ini setelah pemilik asal menjualnya kepada pemaju.
“Sebagai wakil rakyat, sememangnya kita sentiasa memantau dan mahu membantu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.
“Malah, sebelum inipun kita telah menyelesaikan isu sama dihadapi penduduk Kampung Permatang Tepi Laut dengan pemaju,” katanya yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika ditemui pada Majlis Serahan Surat Tawaran Rumah Kos Rendah kepada penduduk terlibat di sini barubaru ini.
Jelas Abdul Malik, semua penduduk yang terlibat diberi keutamaan oleh Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) dalam proses pemilihan.
“Walaupun kita tidak akan paksa penduduk untuk menerima surat tawaran ini, kita hanya membantu memberi alternatif memandangkan pihak pemaju sendiri telah bersetuju untuk tunggu sehingga proses pemberian pampasan selesai.
“Kita sedar bahawa rumah merupakan keperluan yang sangat penting dan saya sendiri sedaya-upaya cuba untuk mendapatkan unit-unit rumah di Ara Green sebagai ganti,” ujarnya.
Menurut beliau, pangsapuri Ara Green yang terletak di Sungai Ara mempunyai 334 unit kos rendah dan 80 unit kos sederhana rendah dengan keluasan 650 kaki persegi serta berkemungkinan siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini.