Penduduk Pulau Pinang dinasihati jimat penggunaan air bagi elakkan catuan

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menasihati penduduk di negeri ini supaya menjimatkan penggunaan air dalam menghadapi musim kering yang dijangka berlarutan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Menurut beliau, kapasiti efektif dua empangan utama di negeri ini mencatatkan penurunan drastik ekoran musim panas dan kemarau yang dijangka berlarutan sehingga April ini.

“Sehingga semalam (14 Januari 2020) kapasiti efektif di Empangan Air Itam serta Empangan Teluk Bahang masing-masing dicatatkan pada paras 62 peratus dan 39.5 peratus.

“Jumlah ini adalah lebih rendah berbanding tiga tahun kebelakangan ini iaitu 88.7 peratus (2019); 97.5 peratus (2018) dan 99.4 peratus (2017) bagi Empangan Air Itam, manakala Empangan Teluk Bahang pula mencatatkan 81.4 peratus (2019); 98.6 peratus (2018) dan 100 peratus pada 2017,” jelasnya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Kapsiti efektif air kelihatan susut dengan ketara.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa perubahan iklim turut membawa impak besar terhadap jumlah taburan hujan yang direkodkan di kedua-dua empangan di negeri ini pada tahun lepas.

“Dalam tempoh September hingga Disember 2019, jumlah hujan direkodkan di Empangan Air Itam adalah 72 milimiter (mm) bersamaan dengan 44.5 peratus daripada purata tiga tahun lepas iaitu 1,577mm.

“Bagi Empangan Teluk Bahang pula, sebanyak 1,732mm hujan direkodkan dalam tempoh sama yang bersamaan dengan 55.9 peratus daripada purata tiga tahun lepas iaitu 3,101mm,” ujarnya.

Difahamkan, jumlah hujan yang dicatatkan di kedua-dua empangan tersebut menunjukkan trend penurunan sejak 2016.

Empangan Air Itam merekodkan penerimaan hujan sebanyak 1,982mm (2016); 1,599mm (2017); 1,150mm (2018) dan 702mm (2019), manakala Empangan Teluk Bahang pula mencatatkan 4,040mm (2016); 2,673mm (2017); 2,590mm (2018) dan 1,732 mm (2019).

Justeru, Kon Yew yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menggesa penduduk di negeri ini supaya mengamalkan langkah-langkah penjimatan air sepanjang musim kemarau.

Kapasiti efektif terkini Empangan Teluk Bahang adalah sebanyak 39.5 peratus.

“Penduduk dinasihati supaya tidak menggunakan hos untuk membersihkan rumah, menyiram kebun atau pokok-pokok selain mengurangkan kekerapan mencuci kenderaan.

“Selain itu, pastikan semua paip ditutup selepas digunakan bagi mengelakkan air terus mengalir.

“Kerjasama dan sokongan anda amat diperlukan bagi memastikan bekalan air di negeri ini adalah mencukupi,” seru beliau.

Dalam pada itu, Jaseni memaklumkan bahawa sejak November tahun lepas, PBAPP telah meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam dan Empanan Teluk Bahang.

“Bagi memenuhi permintaan air semasa musim perayaan, PBAPP mengoptimumkan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Dua dan mengepam lebih banyak air terawat ke bahagian pulau.

“Bermula tahun ini, kita perlu pastikan simpanan air mentah di empangan utama dapat bertahan sehingga bermulanya hujan yang dijangka pada April atau Mei ini,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS