Penduduk sedia ada Ladang Kalidonia dapat rumah percuma, ‘hadiah’ menjelang Deepavali

Admin
KETUA Menteri bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain merakamkan gambar dengan para penerima replika kunci unit RMM Kategori A Taman Kalidonia Indah Fasa 1 di sini pada 8 Oktober 2022.

JAWI – Menjelang perayaan Deepavali yang kian kunjung tiba menyaksikan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) membangunkan 272 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Kategori A untuk memastikan penduduk sedia ada di Ladang Kalidonia dapat menikmati kehidupan yang lebih kondusif secara percuma.

KETUA Menteri

Bukan setakat itu sahaja, Ketua Menteri , Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut memberi hak milik tanah seluas 15.108 ekar kepada CMI yang bernilai kira-kira RM15 juta bagi merealisasikan projek kediaman rakyat tersebut.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat terutamanya pihak kontraktor, Eco Horizon Sendirian Berhad yang begitu komited dalam melunaskan tanggungjawab untuk membangunkan projek ini selaras dengan syarat pembangunan RMM yang perlu dipatuhi bagi projek sendiri di Batu Kawan,” jelasnya dalam Majlis Penyerahan Kunci Unit Rumah Taman Kalidonia Indah Fasa I di sini pada 8 September 2022.

Difahamkan, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada 24 Oktober 2020 menyempurnakan acara majlis pecah tanah projek tersebut, dan ia mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

Pada 26 September lepas pula, majlis cabutan undi tawaran unit kediaman di taman berkenaan telah diadakan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa penawaran unit rumah secara pajakan 60 tahun adalah secara percuma, sementara penduduk Ladang Kalidonia hanya perlu membayar RM50 sebulan sebagai kos pengurusan dan penyelenggaraan sebagai menikmati segala kemudahan yang disediakan di taman kediaman tersebut.

“Penerima tawaran unit rumah akan diberikan Dokumen Perjanjian Pajakan Rumah untuk dilengkapi dan disempurnakan oleh setiap penerima.

“Segala syarat penawaran pajakan akan dinyatakan dalam dokumen perjanjian tersebut untuk dipersetujui oleh penerima unit rumah,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negerj (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Di samping itu, Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap penduduk yang terlibat dapat memberikan kerjasama sebaik mungkin demi memastikan kerja-kerja pemajuan projek fasa 2 di kawasan kediaman tersebut dapat disiapkan sesegera mungkin.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut mengambil maklum bahawa terdapat beberapa keluarga yang masih menginap di Ladang Kalidonia secara sewaan, dan Kerajaan Negeri akan memastikan keluarga-keluarga yang layak tersebut ditawarkan unit rumah setelah Fasa 2 disempurnakan,” ulasnya lanjut.

P. Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang berucap sebelum pada itu menyifatkan bahawa projek RMM Taman Kalidonia Indah Fasa I tersebut sebagai ‘hadiah terbesar’ buat rakyat terutama komuniti India di ladang berkenaan.

“Setelah lebih 30 tahun memperjuangkan untuk sebuah kehidupan yang lebih baik, hari ini sejarah baru dicipta.

“Inilah saat-saat yang dinantikan, dan saya percaya ia merupakan ‘hadiah’ paling bermakna kepada penduduk Ladang Kalidonia terutamanya menjelang sambutan Deepavali yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya yang juga ADUN Perai.

JAGDEEP Sing Deo

Dalam perkembangan lain, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyifatkan rakyat Malaysia di negeri Pulau Pinang tidak mendapat banyak manfaat daripada pembentangan Bajet 2023 Persekutuan di Dewan Rakyat pada petang semalam.

Selain itu, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat turut memberitahu bahawa setakat 7 Oktober 2022 menyaksikan jumlah pembekalan RMM dalam tahap pemajuan di Pulau Pinang adalah sebanyak 135,545 unit, yang mana telah melepasi akujanji manifesto Kerajaan Negeri semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

“Angka ini telah melepasi akujanji kita dalam manifesto Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada PRU14 lalu iaitu menyasarkan untuk membina 76,000 pelbagai rumah mampu milik di negeri ini,” jelasnya.

ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Pengurus Besar CMI, Datin S. Bharathi; Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Group Berhad, Dato’ Seri S. Sundarajoo dan Pengurus Besar Bahagian Pulau Pinang Eco World, Dato’ Chan Soo How turut sertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS