Penduduk teruja perkembangan terkini projek LRT Laluan Mutiara

Admin
img 20250107 wa0053

BERITA mengenai majlis pecah tanah bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang yang akan diadakan di Bandar Sri Pinang pada 11 Januari ini telahpun tular dan ramai yang teruja dengan perkembangan terkini projek berkenaan.

 

 

 

 

Tinjauan Buletin Mutiara ke tapak majlis yang terletak berdekatan Lebuh Sungai 1 mendapati bahawa kerja-kerja pembersihan dan meratakan tanah kini giat dilaksanakan oleh pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), termasuk memasang khemah bagi majlis berkaitan yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri.

 

 

 

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, LIM SIEW KHIM, pada 30 Disember 2024 pihaknya telah menguar-uarkan pemakluman daripada pihak MRT Corp. berhubung kerja-kerja di tapak berkenaan.

 

 

 

 

Walaupun akan terdapat sedikit gangguan yang mungkin akan berlaku semasa kerja-kerja pembinaan, saya yakin bahawa penduduk di Sungai Pinang dan kawasan sekitar akan memberikan kerjasama yang baik.

 

 

 

 

“Ramai penduduk yang ditemui sangat teruja, terutama apabila kawasan Sungai Pinang dipilih sebagai lokasi pertama untuk membangunkan salah satu stesen LRT,” ujarnya yang turut turun padang bagi meninjau persediaan majlis tersebut.

 

fb img 1736250152731
LIM Siew Khim (berkemeja-t ungu) sempat merakamkan gambar bersama-sama pihak yang bertanggungjawab dalam membina stesen LRT di Bandar Sri Pinang pada awal Januari lalu.

 

 

Bagi mengurangkan gangguan kepada penduduk setempat, Siew Khim memaklumkan bahawa pihak MRT Corp. akan melaksanakan langkah-langkah mitigasi dan menzahirkan rasa kesal atas sebarang kesulitan yang mungkin terjadi semasa projek dilaksanakan termasuk gangguan debu dan bunyi.

 

 

 

 

Dalam pada itu, anak kelahiran Sungai Pinang, MOHD. SHAH EMRAN KAMARUDDIN, 42, ketika dihubungi, menyambut baik pembangunan projek LRT Laluan Mutiara.

 

MOHD. Shah Emran Kamaruddin.

 

 

Sekurang-kurangnya apabila siap nanti, ia akan mengurangkan kesesakan kenderaan persendirian di jalan raya terutama ketika waktu puncak.

 

 

 

 

“Cuma mungkin nanti akan menimbulkan sedikit gangguan dan kesesakan di kawasan perumahan sedia ada kerana pembinaan stesen sebolehnya jauh dari perumahan sedia ada.

 

 

 

 

“Macam Sungai Pinang ini, kawasan agak padat dan sedang membangun, harap nanti setimpallah serta mampu memberi kemudahan untuk bergerak,” katanya yang teruja dengan perkembangan terbaharu itu.

 

 

 

 

WONG KIM FEI, 48, juga menzahirkan rasa teruja dan menganggap bahawa berita pembangunan stesen di Bandar Sri Pinang sebagai ‘hadiah baik’ sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

 

img 20250107 wa0047
WONG Kim Fei (kanan sekali) bersama-sama ahli keluarganya.

 

 

Bukan sahaja penduduk di sini, saya sendiri pun sudah menunggu sekian lama sejak diumumkan mengenai LRT di Pulau Pinang.

 

 

 

 

“Lokasi pembangunan stesen LRT di sini amat sesuai memandangkan kawasan sekitar mempunyai banyak pangsapuri kos rendah dan sederhana dan rata-rata penduduk adalah merupakan golongan B40.

 

 

 

 

“Saya percaya projek ini akan mengurangkan kesesakan lalu lintas kerana tidak perlu lagi memandu kenderaan sendiri (untuk bergerak),” ujarnya yang menetap di Desa Pinang 2, berhadapan tapak pembangunan stesen LRT Bandar Sri Pinang.

 

img 20250107 wa0054
KAWASAN yang bakal dibangunkan kelak.

 

 

Bagi JESSY ANNE a/p VINCENT JOSEPH, 34, berharap projek tersebut dapat dilaksanakan seperti yang dirancang dan lancar demi manfaat warga Pulau Pinang.

 

 

 

 

Sebagai penduduk di kawasan Bandar Sri Pinang ini, saya gembira apabila dimaklumkan salah satu stesen LRT akan dibina di sini yang bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti di sini tetapi seluruh warga negeri.

 

 

 

 

“(Dan) dengan mod pengangkutan baharu ini, akhirnya penduduk boleh memilih alternatif pengangkutan bahkan mempertimbangkannya sebagai mod pengangkutan utama setiap hari ke destinasi masing-masing,” katanya dengan nada gembira.

 

 

 

 

Nada serupa turut disuarakan oleh anak muda berusia 29 tahun, P. KANNAN yang menunggang motosikal setiap hari ke tempat kerja dari Air Itam ke George Town.

 

img 20250107 wa0049
P. Kannan.

 

 

Saya harap sangat LRT yang akan dibangunkan ini dapat memenuhi keperluan penduduk di Pulau Pinang.

 

 

 

 

“Saya juga berharap untuk menggunakan perkhidmatan ini pada masa akan datang untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.

 

 

 

 

“Walaupun laluan LRT tiada di Air Itam, tapi saya percaya pada masa hadapan, pihak kerajaan dapat mempertimbangkannya.

 

 

 

 

“(Hal ini kerana), saya melihat bahawa perkhidmatan LRT bukan sahaja boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas dan penggunaan kereta tetapi juga dapat mmengurangkan kes kematian akibat kemalangan membabitkan penunggang motosikal,” jelasnya yang merupakan pekerja selenggaraan di George Town.

 

 

img 20250107 wa0055
LENSA Buletin Mutiara sempat merakamkan kerja-kerja meratakan kawasan pembinaan hampir selesai, semalam.

 

Sementara itu, ONG LAY SIM, yang disapa Buletin Mutiara ketika bersantai di Persiaran Karpal Singh menzahirkan rasa syukur kerana majlis pecah tanah projek berkenaan akan diadakan di kawasan tersebut.

 

 

 

 

Ini merupakan pengiktirafan kepada kami sebagai penduduk di Sungai Pinang dan sememangnya saya amat menantikan projek ini.

 

 

 

 

“Cuma, saya harap penduduk di sini dapatlah bersabar dengan gangguan bunyi dan lain-lain ‘cabaran’ yang mungkin akan timbul semasa tempoh pembinaan,” kata juruaudit berusia 35 tahun itu.

 

 

 

 

Manakala bagi CJ LIM, 32, yang berasal dari Batu Maung berkata, LRT Laluan Mutiara bakal menjadi daya tarikan baharu untuk Pulau Pinang.

 

img 20250107 wa0048
CJ Lim.

 

 

Selepas Pulau Silicon siap, saya rasa kawasan Batu Maung akan menarik lebih ramai pelabur.

 

 

 

 

“Ini secara tidak langsung akan mengubah corak kehidupan rakyat Pulau Pinang,” katanya yang merupakan penjual sayur.

 

 

 

 

Salah seorang responden yang enggan dikenali berharap agar pihak pengendali dapat menyediakan perkhidmatan bas perantara secara percuma dari stesen ke stesen bagi melancarkan perjalanan penumpang kelak.

 

 

 

 

Paling tidak pun bayaran minimal bagi menggalakkan lebih ramai memilih perkhidmatan LRT sebagai mod pengangkutan untuk urusan harian tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar.

 

 

 

 

“Saya membayangkan sekiranya tiada perkhidmatan bas perantara ini, stesen LRT akan sesak dengan kenderaan yang parkir termasuk yang parkir di luar petak.

 

 

 

 

“Jadi adanya bas perantara ini, pengguna boleh memilih untuk parkir di kawasan yang kurang sesak dan kemudian memilih sama ada menaiki bas perantara untuk ke stesen lain atau naik LRT sahaja,” katanya ketika ditemui sedang beristirahat berdekatan Persiaran Karpal Singh.

 

 

img 20250107 wa0019
GAMBAR yang diambil pada 3 Januari lalu menunjukkan kerja-kerja meratakan kawasan pembinaan stesen giat dilakukan.

 

 

Terdahulu, media melaporkan bahawa segmen pertama LRT Laluan Mutiara bakal dilengkapi dengan 21 stesen sepanjang 29 kilometer yang mana 20 stesen di bahagian pulau dan satu stesen di Penang Sentral dekat Seberang Perai.

 

 

 

 

Apabila siap kelak, LRT Laluan Mutiara akan merangkumi laluan dari Pulau Silicon ke arah utara ke Permatang Damar Laut; Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; Sungai Tiram; Zon Perindustrian Bebas Selatan; Zon Perindustrian Bebas; Jalan Tengah; Subterranean Penang International Convention and Exhibition Centre; Bukit Jambul; Sungai Nibong; Sungai Dua; Batu Uban; Jalan Universiti; Gelugor; Penang Waterfront; Jelutong Barat; Sungai Pinang; Bandar Sri Pinang; Jalan Macallum and Komtar.

 

 

 

 

Manakala bagi stesen di Penang Sentral pula akan dihubungkan ke stesen di Jalan Macallum.

 

 

 

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & SITI NURATIKAH RAHMAT