KOTA Bandung acapkali dikenali sebagai ‘Paris Van Java’ merupakan destinasi yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada rakyat Malaysia. Terletak di wilayah Jawa Barat, Indonesia, bandar raya ini terkenal sebagai lokasi membeli-belah dengan pesona fesyen terkini disulam alam semula segar nan terbentang.
Namun, ramai yang masih kurang mengetahui kewujudan tiga lagi bandar berhampiran dalam wilayah Jawa Barat – Kuningan, Ciribon dan Majalengka juga mempunyai potensi pelancongan untuk diketengahkan.
Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama rakan delegasi, pada awal Jun lalu sempat menjelajah empat bandar tersebut bagi meninjau lokasi-lokasi tarikan pelancong yang jarang diterokai orang luar Indonesia dari segi seni dan budaya di sana.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta (SHIA) pada hari pertama, kami diberi peluang merasai kelajuan perkhidmatan Kereta Api Cepat Indonesia China (KCIC) atau dikenali sebagai ‘Whoosh’.
Kelajuan kereta api ini mampu mencapai kelajuan 350 kilometer sejam membelah laluan Jakarta ke Bandung dalam 45 minit sahaja.
Pada sebelah malam delegasi dibawa untuk majlis makan malam rasmi di kediaman Gabenor Jawa Barat menaiki kenderaan pelancongan khas menelusuri kemeriahan kota Bandung dengan pelbagai aktiviti.
Konsul Ekonomi bagi pejabat Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI), Aryadi Ramadhan berkata, pihak KJRI sedang berusaha mewujudkan penerbangan terus Pulau Pinang ke Bandung dalam merancakkan ekonomi pelancongan kedua-dua wilayah.
“Kalau sebelum ini Pulau Pinang dikenali sebagai destinasi perubatan oleh rakyat Indonesia, sebenarnya ia juga terkenal sebagai ‘Lembah Silikon Timur’ dan saya rasa Indonesia boleh mengambil peluang tersebut untuk memajukan sektor perindustrian di sini.
“Manfaat hubungan erat Pulau Pinang dan Indonesia, KJRI mengambil kesempatan turut mahu mempromosikan Jawa Barat menerusi pempengaruh media sosial, penulis akhbar dan agen pelancongan dalam memperkenalkan produk-produk pelancongan di sini,” ujarnya pada majlis makan malam tersebut.
Hadir sama, Exco Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Jawa Barat, Benny Bachtiar; Pegawa Fungsi Utama Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Jawa Barat, Sastie Yustia Dewi dan pegawai-pegawai kerajaan jemputan.
Hari kedua perjalanan diteruskan ke Ciribon antara lokasi yang menyimpan sejarah peradaban kesultannya satu ketika dahulu.
Ketibaan delegasi di Keraton Kesepuhan Ciribon disambut Ratu Raja Alexendara Wurianingrat dan Patih Sepuh Pangeran Raja Goemelarningrat yang merupakan susur galur daripada kesultanan Ciribon itu sendiri.
Keutuhan istana bersejarah tersebut membuktikan kekuatan sebuah kerajaan lama di Ciribon yang masih menyimpan alat-alat kebesaran untuk tatapan generasi hari ini.
Sejurus selepas itu, kami dibawa ke Batik Trusmi, sebuah perusahaan batik yang terkenal dan terbesar di Jawa Barat.
Di sini banyak menjual cenderamata terdiri daripada kain pasang, baju, tudung, kudap-kudapan yang sesuai di bawa pulang.
Para peserta rombongan diberi peluang untuk mencanting batik dan menunjukkan bakat masing-masing dalam melukis batik.
Sekiranya ke Indonesia, kita tidak lagi perlu bimbang mengenai tukaran wang, kerana kebanyakan kedai sudah mampu melakukan transaksi imbasan kod QR bank daripada Malaysia.
Ini antara perkara yang memudahkan apabila berkunjung ke negara jiran ini dan menjadikan urusan lebih mudah, satu usaha yang baik oleh Bank Negara Indonesia.
Di hari ketiga kami diperkenalkan dengan sisi budaya yang terdapat di Kampung Sunda Balung Dalem.
Kampung ini dikenali sebagai ‘tempat lahir’ alat muzik angklung yang turut diwartakan sebagai warisan budaya dunia asal Indonesia oleh UNESCO.
Selain itu, terdapat permainan tradisional yang mirip di Malaysia seperti jengkek-jengkek, terompah gergasi dan lain-lain lagi.
Kampung Balem Dalam dilihat sebagai tempat memelihara adat resam warisan dan kesenian dari ditelan arus permodenan.
Di sini para delegasi turut diberi peluang melihat sendiri bengkel pembuatan angklung dan bermain alat muzik tradisonal tersebut.
Sekiranya anda suka percutian bertemakan alam semulajadi, ‘wisata alam’ di Kuningan menjanjikan satu panorama yang indah dan menarik.
Saujana mata memandang, pelancong disajikan dengan pemandangan Gunung Ciremai, padi bukit menghijau di segenap perkampungan di Kuningan.
Menjamu selera juadah tempatan di lereng bukit yang nyaman menambahkan lagi keenakan makanan sambil menghirup kopi panas di sini.
Melihatkan kawasan sekitar Kuningan, sebenarnya masih banyak kawasan pelancongan bertemakan alam semulajadi dan indah di sini yang boleh dilihat di media sosial sebelum menempah perjalanan ke sini.
Cuma, masa agak membataskan untuk mengunjungi kesemua lokasi tersebut.
Hari terakhir, para delegasi boleh memilih untuk berlepas pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Kertajati terus ke KLIA atau kembali ke Jakarta melalui SHIA.
Semoga dapat bertemu lagi pada waktu yang lain, segala pengalaman di sini semuanya indah-indah belaka, tambahan pula dibantu insan-insan baik hati dan budiman. Sampai jumpa lagi.