MOHD. Azri Abu Bakar, 23, pelajar jurusan perubatan dalam program berkembar Manchester – Universiti Mansoura di Mesir merupakan antara 1,031 penerima Bantuan Dermasiswa Pengajian yang diadakan di Hotel Ixora, Seberang Jaya pada 2 November 2020.
Beliau menerima RM20,000 bantuan kewangan pendidikan yang diagihkan sendiri oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada Majlis Penyerahan Bantuan Dermasiswa Pengajian Zakat Pulau Pinang 2020 dekat sini.
Terdahulu, tinjauan Buletin Mutiara mendapati rata-rata penerima memuji prosedur operasi standard (SOP) pemohonan dan pengagihan Bantuan Dermasiswa Pengajian Zakat Pulau Pinang yang diuruskan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP).
“Permohonan zakat adalah sangat mudah, saya tunggu permohonan dibuka (pengumuman menerusi) Facebook dan Instagram, daftar secara dalam talian, hantar salinan dokumen yang diperlukan dan tunggu jawapan (status permohonan).
“Alhamdulillah, dengan jumlah itu, dapat membayar lebih separuh yuran,” jelas Mohd. Azri sambil menzahirkan rasa syukur serta berterima kasih terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri.
Beliau memberitahu ini adalah kali ketiga beliau menerima bantuan daripada sumber zakat negeri, yang diagihkan oleh ZPP.
Beliau turut memuji usaha pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memperbaiki kaedah permohonan dan penyaluran agihan bantuan pendidikan zakat negeri, sebagaimana diperjelaskan oleh Ahmad Zakiyuddin ketika merasmikan berkaitan di sini.
Sementara itu, Nor Afini Abdul Aziz, 23, merupakan seorang lagi penerima Bantuan Dermasiswa Pengajian Zakat Pulau Pinang.
Mahasiswa bidang Linguistik Bahasa Melayu di Universiti Sains Malaysia (USM) memberitahu beliau mendapat RM3,500 bantuan dermasiswa secara sekaligus, sungguhpun lahir di negeri Perak serta lama menetap di negeri ini.
“Sememangnya bantuan ZPP ini sangat membantu saya meneruskan pengajian terutama bagi mengharungi pandemik COVID-19 sekarang ini.
“Bagi saya proses permohonan tidaklah terlalu sukar dan rumit, mudah untuk pemohon membekalkan segala maklumat yamg mereka (ZPP) kehendaki.
“Proses permohonan adalah secara dalam talian, pada masa yang sama juga kami turut diminta membekalkan salinan dokumen kepada ZPP,” jelasnya lagi sambil memuji pentadbiran badan agihan zakat negeri.
Nada sama turut dikongsi oleh seorang lagi penerima bantuan dermasiswa zakat negeri, Lukman Hakim Awang Kecil, 20, pelajar ijazah sarjana muda jurusan Bahasa Arab dan Sastera di Universiti Yarmouk, Jordan.
“Kalau ikutkan saya sudah tahun ketiga pengajian di Jordan, bagi saya, majlis penyampaian bantuan dermasiswa ini adalah suatu tonggak kepada kami yang belajar di luar negara.
“Bagi saya kaedah permohonan bantuan zakat negeri tidak payah kerana ZPP telah memudahkan proses,” katanya sambil memberitahu mengenai proses bantuan pendidikan zakat negeri banyak diuruskan melalui persatuan pelajar dan ZPP.
Dalam pada itu, ketika berucap, Ahmad Zakiyuddin memberitahu bahawa pada kali ini sebanyak RM5.35 juta dana zakat diagihkan kepada asnaf fisabilillah merangkumi pelajar peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (Ph.D).
“Bantuan ini juga meliputi pelajar-pelajar bidang pengajian Islam dan kedoktoran di luar negara seperti Mesir, Maghribi, Rusia dan Indonesia.
“Sebelum ini, bantuan dermasiswa ini dikenali sebagai Bantuan Dermasiswa E-Minhah yang diuruskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, namun pada tahun ini ZPP akan menguruskan bantuan dermasiswa ini sepenuhnya dengan dijenamakan semula sebagai Bantuan Dermasiswa Pengajian Zakat Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Yang Dipertua MAINPP merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali; dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd. Zakuan Zakaria.
Bercakap dalam sidang media selepas itu, Amran memberitahu saban tahun ZPP memperuntukkan sehingga RM6 juta dari sumber kutipan zakat untuk memenuhi keperluan pelajar melanjutkan pengajian dalam pelbagai peringkat ijazah akademik.
“Para menerima Bantuan Dermasiswa Pengajian Zakat Pulau Pinang pada kali ini menerima bantuan dalam pelbagai jumlah, minimum RM2,500 hingga kadar maksimum RM20,000 bergantung pada tahap pengajian serta tempoh pengajian.
“Walaupun seramai 1,031 penerima bantuan dermasiswa ini, namun, pada tengah hari tadi hanya 100 sahaja yang hadir dalam majlis ini sebagai mengikut SOP di negeri ini.
“Bantuan Dermasiswa Zakat Pulau Pinang ini layak dimohon dengan menggunakan keputusan akademik tahun satu pengajian mereka, dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) mesti 2.5 dan ke atas.
“Kita (ZPP) akan akan terus cuba mengurangkan tempoh memproses permohonan (bantuan dermasiswa zakat negeri) dan birokrasi…biasanya permohonan akan dibuka dalam tempoh sebulan (manakala) dua bulan berikutnya mereka boleh mendapat jawapan sama ada layak atau tidak…hantaran duit terus ke akaun penerima,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada para pembayar zakat fitrah dan zakat korporat melalui ZPP.
Dalam perkembangan berkaitan, Amran memberitahu bahawa ZPP turut menyediakan ‘Bantuan Permulaan Ke IPT’ selain Bantuan Dermasiswa Pengajian.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS