ERAJAAN Negeri Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan penangguhan pembayaran program iSejahtera yang sepatutnya dibayar pada Oktober lalu berikutan peningkatan kes aktif baru COVID-19 di negeri ini.
Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, penangguhan itu dibuat bagi mengelakkan penularan COVID-19 dalam kalangan penerima terutama warga emas.
Justeru, Boon Poh memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan menukar kaedah penyalurkan pembayaran sumbangan tersebut melalui pemindahan dana elektronik (EFT).
MANSOR SULAIMAN, 64, ketika ditemui menyambut baik inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri bagi memastikan sumbangan tersebut sampai kepada penerima.
“Setiap tahun Kerajaan Negeri akan sampaikan sumbangan ini melalui pemberian tunai tetapi pada tahun ini keadaan sedikit berbeza kerana pandemik COVID-19.
“Bagaimanapun, kita berasa lega kerana sumbangan ini tetap diagihkan kepada penerima kerana pada masa ini kami sangat memerlukan bantuan kewangan.
“Sebagai pemandu teksi, pendapatan saya terjejas teruk selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sehingga kini.
“Jadi, sumbangan daripada Kerajaan Negeri sedikit-sebanyak dapat meringankan beban saya dan keluarga ketika ini,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.
Sementara itu, CHE ZARINU ZAKARIA, 55, pula berpendapat bahawa kaedah bayaran melalui EFT lebih selamat dan memudahkan golongan warga emas.
“Pada tahun lepas, saya akan bawa ibu untuk mengambil sumbangan ini dekat Maybank Seberang Jaya tetapi tahun ini sumbangan disalurkan terus melalui akaun bank penerima.
“Sebenarnya kaedah ini lebih selamat kerana dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan penerima khususnya warga emas yang merupakan kumpulan paling berisiko untuk dijangkiti.
“Selain itu, pembayaran melalui kaedah ini juga lebih menjimatkan masa kerana penerima tidak perlu lagi beratur untuk mendapatkan wang mereka,” ujarnya lagi.
Nada sama turut disuarakan oleh seorang lagi penerima NORMAH SAAD, 63.
Katanya, inisiatif pembayaran melalui kaedah EFT lebih baik kerana pada masa ini kebanyakan urusan pembayaran dilakukan secara digital.
“Bagaimanapun, diharapkan Kerajaan Negeri dapat memberi lebih masa kepada penerima khususnya warga emas yang tidak mempunyai akaun bank.
“Mungkin Kerajaan Negeri juga boleh memikirian suatu kaedah untuk membantu warga emas membuka akaun bank untuk membolehkan sumbangan ini sampai kepada semua penerima,” katanya.
Terdahulu, Boon Poh juga berkata bahawa terdapat seramai 11,705 ibu tunggal yang mendaftar bagi Program Sumbangan Ibu Tunggal dengan 7,535 daripadanya sudah menerima bantuan menerusi EFT, manakala bakinya tidak mempunyai akaun bank.
“Begitu juga bagi Program Sumbangan Ibu Emas, terdapat 49,176 pemohon berdaftar dan 31,532 daripadanya sudah menerima bayaran menerusi EFT, manakala 7,535 daripadanya tiada akaun bank,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.
Oleh itu, katanya, penerima boleh mendapatkan borang EFT di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Pejabat Daerah dan Tanah berhampiran.
“Jika penularan wabak masih berlaku hingga ke hujung tahun, kerajaan negeri berjanji akan membuat pembayaran itu pada tahun hadapan.
“Justeru, penerima yang belum memohon pindahan secara EFT diminta berbuat demikian sepanjang tempoh ini,” katanya lagi.
Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF