Penerima tauliah mengajar agama masih perlu patuh garis panduan MAINPP, respons TKMI

MOHAMAD Abdul Hamid

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menjelaskan bahawa 16 pendakwah termasuk Dato’ Ustaz Kazim Elias yang dilarang mengajar di negeri ini pada tahun 2022 adalah ekoran tidak mempunyai tauliah berwajib.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat menjelaskan bahawa larangan mengajar tersebut adalah berdasarkan surat yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bertarikh pada 4 November 2022 berkaitan Pekeliling Jemputan Ceramah / Seminar / Syarahan / Khutbah dan Penganjuran Program Masjid/Surau/Institut Seluruh Negeri Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu lagi, setelah memperoleh tauliah atau bagi mereka yang telah sedia memegang tauliah juga masih perlu mematuhi syarat- ayarat ditetapkan di bawah Kaedah 13 iaitu berkaitan Kaedah-kaedah Pentadbiran Aktiviti Yang Berkaitan Dengan Pengajaran Agama (Negeri Pulau Pinang) 1998.

“(Mereka yang memegang tauliah mengajar) tidak boleh menyebarkan fahaman bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah; tidak menyentuh apa-apa perkara yang berhubung dengan kebesaran, kemuliaan, kedaulatan dan kuata Yang Dipertua Agong dan Raja-Raja sebagai ketua agama negeri.

“(Mereka yang memegang tauliah mengajar) tidak menyinggung perasaan mana-mana agama, adat resam dan budaya penduduk tempatan yang boleh membawa ketegangan kaum serta agama.

“(Mereka yang memegang tauliah mengajar) tidak menghina perkara-perkara khilafiah yang terdapat dalam empat mazhab dan tidak menyentuh isu-isu politik kepartian,” jelasnya lagi dalam Sesi Soalan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2023.

ZULKIFLI Bakar

Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Penanti, Zulkifli Bakar, beliau turut menjelaskan keanggotaan pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan tauliah mengajar agama Islam di Pulau Pinang bagi pihak MAINPP.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT