GEORGE TOWN – Jawatankuasa Penganjur bagi Penang Bridge International Marathon (PBIM) 2024 hari ini memperkenal penaja-penaja yang akan menaja acara tersebut tahun ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, sebelum ini beliau telah mengumumkan Aspen Group dan Klippa Shopping Centre menjadi penaja utama bagi penganjuran PBIM 2024.
“Hari ini, antara barisan penaja yang akan bersama-sama menjayakan PBIM 2024 adalah Big Pharmacy, Caring Pharmacy, Teleperformance, Brooks dan Emico.
“Penaja lain yang turut akan bersama adalah Seiko, Island Hospital, Star Media Group, Counterpain serta N8,” ujar Hon Wai pada sidang media di Komtar pagi ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng.
Menurut Hon Wai, penganjuran PBIM 2024 kali ini akan diadakan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua).
“Pada tahun 2014, jambatan sama pernah menjadi lokasi PBIM namun bermula di bahagian pulau.
“(Dan) tahun ini, buat julung kalinya acara pelepasan akan bermula dari Seberang Perai.
“Saya yakin tahun ini akan menjanjikan kelainan dan cabaran tersendiri apabila PBIM akan mengambil tempat di Jambatan Kedua dari Seberang Perai.
“Kita (Jawatankuasa Penganjur) sasarkan seramai 20,000 peserta akan mengambil bahagian yang mana pendaftaran masih dibuka sehingga tarikh tutup penyertaan pada 30 September ini,” jelasnya.
Layari laman web https://www.penangmarathon.gov.my/portal/ untuk maklumat lanjut.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI