Penganjuran Art In The Park diharap hidupkan semula aura seni

Admin

SERI DELIMA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berharap, penganjuran Art In The Park mampu menghidupkan semula aura seni setelah menghilang selama dua tahun.

 

 

Katanya festival mini tersebut telah dirancang sejak tahun 2019 lagi namun terpaksa ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

 

“Matlamat utama penganjuran Art In The Park ini sudah pastinya menghidupkan semula bidang seni yang kita tahu menerima antara kesan terburuk dalam tempoh PKP selama dua tahun.

 

 

“Penang PAC yang pernah menjadi pementasan teater pun turut terkesan dan terpaksa ditutup impak daripada pandemik COVID-19.

 

 

“Apa yang kita pelajari pada hari ini juga adalah sebenarnya pementasan dan pameran seni ini juga boleh dilakukan di mana-mana seperti yang dianjurkan hari ini sebagai langkah mendekatkan lagi masyarakat kepada keindahan seni itu sendiri,” ujar Syerleena pada pameran Art In The Park dekat Taman Kejiranan Karpal Singh, Lorong Delima 11 pada 2 Julai lalu.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Penghulu bagi kawasan Bukit Gelugor, Nasrizal Nasib.

 

Acara penganjuran bersama dengan Muzium & Galeri Tunku Fauziah Universiti Sains Malaysia (USM) itu membawa pelbagai pameran kepada komuniti setempat.

 

Antaranya ialah penecerapan matahari menggunakan teleskop, bengkel seni batik, seni muzik tradisional, jualan makanan dan minuman, persembahan kugiran akustik serta pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

 

 

Teks dan Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI