GEORGE TOWN – Persatuan Dart Negeri Pulau Pinang baru-baru ini telah menganjurkan Kejohanan Dart Pulau Pinang (PDD) 2023 sebagai satu simbol menghayati semangat kesukanan selaras Visi Penang2030.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen turut menyatakan bahawa kejohanan tersebut berupanya mempamerkan kemahiran sukan dart oleh peserta dari serata negeri.
“Sukan dart bukan sebuah sukan yang mudah untuk diterajui, kejohanan ini menjadi bukti dedikasi dan semangat yang ditonjolkan oleh setiap peserta, tahniah diucapkan kepada semua kerana berjaya mencapai tahap ini.
“Di samping itu, sukan dart juga bukan sekadar permainan yang memerlukan kemahiran, malahan juga dari segi ketepatan balingan, oleh itu platform sebegini wajar diwujudkan bagi menggalakkan persaingan yang sihat,” ujarnya semasa merasmikan kejohanan berkaitan dekat pusat membeli-belah 1st Avenue dekat sini.
Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua serta barisan pihak penganjur.
Pada sesi yang sama, Zi Sen turut memuji inisiatif yang dilakukan pihak penganjur dalam memastikan peserta berpeluang bersaing untuk gelaran bagi mendapatkan gelaran atlet berprestij.
“Melalui kejohanan ini, semangat kesukanan yang luar biasa berjaya dipamerkan, oleh itu peserta diseru memanfaatkan peluang yang diberikan untuk belajar serta memperbaiki lagi kemahiran dalam bersukan.
“Semua pertandingan bukan hanya tentang kemenangan, elemen terpenting adalah peserta berjaya merangkul keseronokan dalam bertanding serta menjalin hubungan kerjasama yang baik bersama-sama rakan peserta lain,” katanya sambil memuji usaha cemerlang para peserta.
Buletin Mutiara difahamkan, kejohanan tersebut diadakan selama dua hari bermula 28 sehingga 29 Oktober 2023 melibatkan lebih 2,000 penyertaan keseluruhannya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD