Penganjuran Liga Penalti 2025 riadah hari minggu bermanfaat

img 5702

PULAU BETONG – Buat julung kalinya, penganjuran Pertandingan Liga Penalti 2025 Piala Penyelaras KADUN (PPK) Pulau Betong menyaksikan sebanyak 32 pasukan bertempur di padang Kompleks Sukan Balik Pulau bermula awal pagi tadi.

img 5674
AHMAD Razaaim.

Pegawai PPK Pulau Betong, Ahmad Razaaim Azimi berkata bahawa penganjuran perlawanan tersebut berjalan lancar berserta cuaca yang baik hingga petang.

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada MPKK Simpang Empat dan Kelab Sukan Bolasepak Balik Pulau yang telah bekerjasama rapat untuk penganjuran ini.

“Sesi perlawanan hari ini juga berjalan dengan lancar, tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada barisan para pemenang dan peserta (12 tahun dan ke atas) yang telah mengimarahkam wadah sukan pada hari ini.

“Dalam pada itu, saya juga akur setiap arena sukan ada pengikutnya tersendiri, syukur penganjuran hari ini menunjukkan sambutan yang amat memberangsangkan, justeru, diharapkan pada masa akan datang kita akan menganjurkan lagi pertandingan sebegini melibatkan komuniti MPKK sekitar kawasan Pulau Betong,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Penghulu di Pejabat Daerah Barat Daya, Mohd. Farouk Varusai Mohd.; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Empat, Idzham Ahmad serta dif-dif jemputan lain.

img 5675
IDZHAM.

Sementara itu, Idzham turut berharap penganjuran seperti ini diteruskan sebagai riadah hari minggu khusus untuk komuniti setempat.

“Liga penalti ini berkonsepkan sebuah pasukan yang boleh dianggotai minimum seorang pemain, dan pihak penganjur telah terhadkan penyertaan sehingga 32 pasukan sahaja.

“Penganjuran hari ini dilihat dapat meraikan bukan sahaja kanak-kanak, malahan juga golongan remaja dalam menyatukan semua lapisan umur melalui saluran sukan selari dengan Visi Penang2030.

“(Mungkin) jika diberi peluang lagi kita akan cari tarikan yang lain pula dari segi hadiah bagi meneruskan program riadah sebegini pada hari minggu,” jelasnya lanjut.

Difahamkan, perlawanan hari ini telah menyaksikan pasukan Lekir yang telah menjuarai Liga Penalti 2025 dan telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,499.99 berserta piala serta pingat, manakala New United B (naib johan, RM699.99), BPFC (ketiga, RM399.99) dan Naran FC (RM199.99).

img 5685img 5689img 5691img 5696
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : IDZHAM AHMAD