Penganugerahan diharap suntik semangat beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat

Admin
b7a2f14a a85a 4abd 9560 258c71c03686 KETUA Menteri (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Khidmat Setia PBAPP kepada salah seorang penerima di sini tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri menyampaikan anugerah khidmat setia kepada 98 kakitangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang telah berkhidmat lama dan cemerlang dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri tersebut.

8e951743 9637 44c4 841d 0848492de0f0
KETUA Menteri

Semasa berucap, beliau yang juga Pengerusi PBAPP dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) berkata bahawa penyampaian anugerah tersebut adalah suatu pengiktirafan kepada para penerima berkenaan.

“Dengan kesetiaan berkhidmat selama berpuluh-puluh tahun ini, saya yakin anda telah menyaksikan banyak perubahan sepanjang bersama PBAPP khasnya, dan di Pulau Pinang amnya.

“Diharapkan dengan pengiktirafan ini, ia mampu menyuntik semangat dan motivasi kepada para penerima anugerah serta rakan-rakan sekerja lain supaya menjadi lebih proaktif, kreatif dan berintegriti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” jelasnya dalam Malam Anugerah Khidmat Setia PBAPP 2024 di St. Giles Wembley Penang di sini pada 12 September 2024.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memuji sekalian kakitangan PBAPP yang terlibat atas kecekapan mereka semasa pelaksanaan pelan gangguan bekalan air terancang pada awal tahun ini.

712ded8e 1fb0 439f 80cc 046c079eaf3d
K. Pathmanathan

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut berharap PBAPP di bawah pentadbiran Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir. K. Pathmanathan supaya menyegerakan pelaksanaan Pelan Kontigensi Air Mentah 2030 mengikut jadual perancangan.

Berucap sebelum itu, Pathmanathan memberitahu bahawa seramai 17 penerima anugerah pada malam ini telah berkhidmat selama 35 tahun; dua penerima lain berkhidmat selama 30 tahun sementara baki 79 individu yang lain memulakan tugas bersama-sama PBAPP sejak dua dekad lepas.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Pengerusi PBAHB antara ahli lembaga pengarah PBAPP yang hadir.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT