PANTAI JEREJAK – Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Asmayani Khalib merupakan antara 23 individu yang dikurniakan Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.
Gelaran tersebut dianugerahkan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-82 Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abas dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Setia SPICE Convention Centre di sini hari ini.
Dalam reaksi beliau, Asmayani menyifatkan penghargaan tersebut bukan sahaja kepada dirinya, malahan seluruh warga kerja JKNPP khasnya dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amnya.
Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa ia merupakan penghargaan kepada semua petugas fasiliti kesihatan barisan hadapan terutamanya di negeri Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, anugerah ini adalah untuk semua petugas-petugas yang bersama-sama saya di JKNPP dan KKM.
“Penganugerahan ini umumnya memberikan semangat kepada kami (JKNPP) untuk memberikan perkhidmatan lebih terbaik kepada rakyat dan spesifiknya penduduk Pulau Pinang.
“Saya ingin menyeru semua petugas barisan hadapan terutamanya di fasiliti kesihatan agar terus membulatkan tekad meneruskan perjuangan ini, jangan lupa amalan dan pengorbanan kita selama hampir memasuki tempoh dua tahun berperang dengan pandemik COVID-19,” ujarnya sambil menyeru semua pihak terutamanya rakyat Pulau Pinang untuk segera tampil ke hadapan mendaftarkan diri bagi melayakkan mendapat imuniti vaksin COVID-19 di negeri ini.
Anak kelahiran Pulau Pinang berkaitan memulakan perkhidmatannya di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada tahun 1988.
Sebelum ditugaskan sebagai Pengarah JKNPP pada 2019, Asmayani yang memiliki sarjana dalam bidang pengurusan hospital dari United Kingdom mempunyai pengalaman bertugas di beberapa negeri antaranya Perak, Selangor, Pahang dan KKM. Malah, wanita kecil molek tersebut merupakan mantan Pengarah Institut Kanser Negara sebelum ditugaskan di Pulau Pinang.
Dijangka bersara pada November 2023, Asmayani berikrar untuk memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang baki tempoh perkhidmatannya.
“Banyak perkara lagi yang ingin saya lakukan di Pulau Pinang, untuk lakukan semua itu, ia memerlukan kerjasama semua pihak bukan sahaja warga kerja JKNPP, tetapi semua agensi di peringkat negeri dan Persekutuan termasuklah sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO),” tambahnya.
Terdahulu pada istiadat berkenaan, Abdul Rahman tiba di Setia SPICE Convention Centre kira-kira pada jam 10.30 pagi sambil diiringi isteri, Toh Puan Majimor Shariff.
Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri; Dato’ Law Choo Kiang (Yang dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) dan isteri; Dato’ Abdul Razak Jaafar (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Selain Asmayani, antara petugas barisan hadapan yang turut menerima pengiktirafan adalah Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Sahabudin Abd. Manan iaitu Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N).
Abdul Manan sebagai mengulas melahirkan rasa syukur atas penganugerahan tersebut.
“Saya rasa berbesar hati menerima pengiktirafan daripada TYT harini,” ringkas beliau.
Dalam pada itu, mantan Ahli Parlimen Gelugor yang juga seorang peguam serta tokoh politik disegani, mendiang Karpal Singh a/l Ram Singh dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia yang juga mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Tan Sri Zainal Rahim Seman merupakan antara dua individu yang menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama.
Difahamkan, seramai 56 penerima menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang pada pagi ini yang terdiri daripada D.U.P.N, Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N), Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N), Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) dan Darjah Setia Pangkuan Negeri(D.S.P.N).
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video: ALISSALA THIAN