Pengarah AADK Negeri bakal galas tanggungjawab baru di Sabah

Admin
c0c4a16f 06b4 4cb0 800d e224427e3479

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, Elmariah Chung di Komtar sebentar tadi.

Turut hadir, Penolong Pengarah AADK Pulau Pinang, Mohd. Zaki Ablah dan Pegawai Perhubungan Awam (PRO) AADK Pulau Pinang, Nor Hajar Aswat Kamis.

Semasa kunjungan tersebut, selain membincangkan beberapa perkara berkaitan, beliau turut mengimbas kembali tempoh perkhidmatannya di Pulau Pinang selama tujuh tahun.

“Saya amat berbesar hati dapat berkhidmat dan mencurahkan bakti di Pulau Pinang selama ini, di samping bersyukur mempunyai seramai lebih 200 kakitangan yang amat berdedikasi memupuk kesedaran masyarakat mengenai dadah.

“(Dan) tidak dilupakan adalah pelbagai cabaran yang berjaya diharungi, pekerjaan ini bukannya mudah untuk dilakukan, justeru bangga saya nyatakan bahawa kes dadah di (Pulau Pinang) berada dalam keadaan terkawal.

“Adalah diharapkan pimpinan seterusnya berupaya mengekalkan momentum tersebut serta mempunyai agenda yang lebih luas untuk memerangi dadah,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow serta barisan kepimpinan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

67ef906b d960 4b28 b37f 9f871a997347
ELMARIAH (kiri) berswafoto kenang-kenangan bersama Ketua Menteri.

Elmariah bakal memulakan tugas sebagai Pengarah AADK Negeri Sabah pada 13 Januari 2025.

Sebelum ini, pada tahun 2017 beliau merupakan Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Bukit Mertajam sebelum menjadi Pengarah AADK negeri.

Pada kesempatan itu, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih atas khidmat bakti dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Elmariah.

Selamat bertugas dan berkhidmat di tempat baru.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT