Pengarah Eksekutif UN-Habitat pelawa Ketua Menteri hadiri WUF10 di Abu Dhabi

Admin

GEORGE TOWN – Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Dato’ Seri Maimunah Mohd. Sharif mempelawa Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow untuk menghadiri The 10th Session of the World Urban Forum (WUF10) di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

 

WUF10 yang dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 13 Februari 2020 akan menjadi medan pertemuan antara pemimpin dari lebih 164 negara untuk bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengalaman mengenai urbanisasi mampan serta cabarannya.

 

Maimunah yang hadir ke Pejabat Ketua Menteri di Komtar lewat petang tadi menyerahkan sendiri surat jemputan kepada Kon Yeow.

 

Sebagai rekod, World Urban Forum dianjurkan oleh Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UN-Habitat setiap dua tahun, dan bersempena penganjuran WUF10 akan datang, cabaran perubahan iklim melalui usahasama ke arah Agenda Urbanisasi Baharu bakal menjadi fokus utama forum.

 

Dalam pada itu, Maimunah yang merupakan mantan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut memaklumkan perkembangan terkini yang diusahakan oleh UN-Habitat di Pulau Pinang.

 

Antaranya, cadangan bagi menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan UN-Habitat yang kini di peringkat akhir bagi mengenal pasti rakan kongsi dari negara-negara Asia Pasifik dan dijangka akan dibuka pada suku pertama tahun depan.

MAIMUNAH Mohd. Sharif (bertudung biru) sedang memberi taklimat kepada Ketua Menteri ketika pertemuan di Komtar, lewat petang ini.

 

Dalam pertemuan singkat itu, beliau juga berkesempatan memaklumkan mengenai beberapa inisiatif yang sedang diusahakan oleh pihaknya melalui pemeteraian perjanjian persefahaman dengan pihak-pihak berkepentingan berkaitan sempena penganjuran Forum Bandar-Bandar Asia Pasifik (APUF-7) yang berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober 2019 di Pusat Konvensyen Setia SPICE dekat Bayan Lepas.

 

Turut dibangkitkan adalah cadangan UN-Habitat supaya kerajaan dan pihak berkuasa tempatan mengguna pakai Inisiatif Kemakmuran Bandar Raya atau City Prosperity Initiative (CPI) sebagai platform untuk merealisasikan komponen urbanisasi yang terkandung dalam Sustainable Development Goals (SDGs).

 

Maimunah hadir ke Komtar dengan ditemani tiga wakil dari Pejabat UN-Habitat di Wilayah Fukuoka, Jepun dan dua pegawai perhubungan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG