Pengecualian kadar cukai taksiran ikut garis panduan

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) meluluskan permohonan pengecualian kadar cukai taksiran beberapa pusat dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di negeri ini mengikut garis panduan Keskes Pengecualian Cukai Taksiran Di Bawah Seksyen 134 dan 135 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan, Joseph Ng Soon Siang ketika membentangkan laporan berkaitan berkata, pengurangan kadar cukai tersebut akan disemak setiap tahun dan lazimnya setiap permohonan sah pakai selama tempoh tiga tahun.

“Kita (MPPP) akan melakukan semakan setiap tahun. Lazimnya, setiap permohonan yang dibuat adalah sah untuk tempoh tiga tahun dan jika tempoh telah tamat, pemilik pegangan perlu memohon semula pengecualian tersebut.

“Serentak itu, MPPP akan membuat lawatan dan pemeriksaan tahunan terhadap pegangan berkenaan bagi memastikan tiada pertukaran daripada kegunaan asal yang telah diberikan pengecualian , ” ujarnya pada Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, terdapat perbezaan pengecualian membabitkan Seksyen 134 dan 135 cukai taksiran yang telah diluluskan.

“Permohonan pengecualian kadar melalui Seksyen 134 Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan dirujuk untuk pertimbangan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan.

“Manakala, permohonan Seksyen 135 akta yang sama akan dirujuk untuk pertimbangan Majlis sebelum dirujuk untuk kelulusan Pihak Berkuasa Negeri,” jelas Soon Siang.