Pengeluaran peranti imej diagnostik Toshiba, negeri dipilih

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MARK JAMES

BAYAN LEPAS – Toshiba Medical Systems Corporation (TMSC) memilih Pulau Pinang sebagai pusat pengeluar peranti sistem diagnostik ultra bunyi dan papan pendawaian bercetak menerusi anak syarikatnya Toshiba Medical Systems Manufacturing Asia Sdn. Bhd. (TMMA) yang berpangkalan di Zon Bebas Perindustrian Bayan Lepas di sini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika hadir merasmikan pusat pembuatan sistem pengimejan diagnostik TMMA pertama di Malaysia baru-baru ini.

“Penubuhan TMMA membuktikan usaha gigih Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan pelabur sekaligus menjadi negeri perindustrian maju di Malaysia.

“Dengan jumlah pelaburan RM50 juta tahun ini, penubuhan TMMA akan mengukuhkan lagi pendapatan negara sekaligus menawarkan peluang pekerjaan untuk rakyat Pulau Pinang,” ucap beliau.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan  Korporat TMSC merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Penjagaan Kesihatan TMSC, Satoshi Tsunakawa; Naib Presiden Korporat (mewakili Toshiba Asia Pasific Pte. Ltd.), Fumio Otani; Pengurus Besar (Sistem Ultra Bunyi, TMSC), Kazufumi Ishiyama dan Pengarah Urusan TMMA, Hirokazu Noguchi.

Konsulat Jepun ke Pulau Pinang, H.E. Ryuji Noda dan Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian turut sama dalam perasmian TMMA baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Tsunakawa memberitahu bahawa pusat berkeluasan 8,640 meter persegi akan menjadi lokasi khas pembuatan barangan perubatan berkaitan ultra bunyi termasuk alat pengimejan diagnostik.

“Setiap bulan antara 300 hingga 400 alat perubatan ultra bunyi mampu dihasilkan di TMMA dengan 98 peratus akan dipasarkan untuk pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

“Unit-unit yang dikeluarkan di sini akan tertera perkataan ‘Buatan Malaysia’ dan dieksport ke seluruh dunia sejajar dengan misi Toshiba untuk menjadi pembekal penjagaan kesihatan terulung di dunia.

“Pusat ini juga adalah yang pertama di Asia Tenggara dan ketiga di luar Jepun selepas Dalian, China dan Campinas, Brazil,” ujarnya yang juga yakin ia dapat memenuhi permintaan pasaran dunia.

Alat imej diagnostik ultra bunyi yang dihasilkan dianggarkan bernilai AS$5,000 hingga AS$20,000 seunit bergantung pada spesifikasi alat berkenaan.

TMSC berpengalaman selama 80 tahun sebagai pembekal sistem pengimejan diagnostik perubatan dan penyelesaian perubatan komprehensif terkemuka dunia termasuk sistem x-ray dan vaskular, ultra bunyi, perubatan nuklear dan MRI.

TMSC ialah subsidiari milik penuh Toshiba Corporation.

} else {