Pengerusi Toray terima pingat

Oleh: SUK PULAU
PINANG

GEORGE TOWN – Pengerusi Perbadanan Perindustrian Toray Malaysia (Toray), Datuk Sadayuki Sakakibara antara individu yang mengisi senarai penerima anugerah dan pingat kebesaran daripada Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dekat kediamannya di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut hadir pada majlis penuh istiadat itu.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, barisan Exco Kerajaan Negeri serta ADUN-ADUN.

Difahamkan, penganugerahan itu sebagai menghargai partisipasi Toray memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan utama sejak tahun 1973.

Selama 40 tahun itu, industri dari Jepun itu giat beroperasi dalam empat bidang perniagaan utama, iaitu gentian poliester, tekstil, resin plastik dan filem poliester.

Sepanjang tempoh itu, difahamkan, Toray melakukan pelbagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), antaranya di Kompleks Kolam Renang Awam Seberang Jaya (RM2.5 juta pada tahun 1982), papan elektronik di Stadium Batu Kawan (RM6 juta pada tahun 1999), menubuhkan Yayasan Sains Toray (1993) dan menubuhkan Pusat Pemindahan Pengetahuan Toray di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 10 April 2013.