Pengezonan tanah tak jejas pengeluaran padi – Afif

Admin

GEORGE TOWN – Pengeluaran padi tahun lepas meningkat 30 peratus berbanding tahun sebelumnya, sungguhpun pengezonan semula tanah untuk tujuan pertanian kepada pembangunan masih terkawal di negeri ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menjelaskan, jumlah pengeluaran padi atas tanah berkeluasan 12,782 hektar di negeri ini adalah sebanyak 144,436 tan dengan nilai RM180,545,000.

“Pengeluaran padi tahun 2013 meningkat sebanyak 30 peratus, berbanding tahun 2012.

“Ini menandakan, meskipun terdapat pertukaran tanah pertanian kepada pembangunan, pengeluaran pertanian masih meningkat dan pengezonan semula tanah adalah terkawal,” jejasnya yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dalam ucapannya.

Teks ucapan Afif dibentangkan Jagdeep Singh Deo (ADUN Datuk Keramat merangkap Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) pada sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Terdahulu, ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man melahirkan rasa gusar berhubung kemungkinan jumlah pengeluaran padi menurun akibat kegiatan pertukaran tanah pertanian kepada pembangunan dilakukan di negeri ini.