Penggiat akuakultur negeri disaran ceburi penternakan tiram

BATU UBAN – Penggiat industri akuakultur di Pulau Pinang disaran agar menceburi bidang penternakan tiram dalam usaha memenuhi permintaan terhadap makanan laut tersebut.

Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Aileen Tan Shau Hwai berkata, kini pengusaha tempatan cuma mampu memenuhi 14 peratus permintaan dalam negara, manakala bakinya (86 peratus) terpaksa diimport.

“Pasaran tiram sememangnya mempunyai permintaan yang tinggi, tetapi di Malaysia 86 peratus daripadanya terpaksa diimport.

“Jadi penternakan tiram ini merupakan satu industri yang mampu memberi pulangan lumayan kepada penternak.

“Di USM melalui CEMACS, kita permudahcarakan penternakan ini agar ianya menjadi mudah serta tidak memerlukan perhatian yang tinggi daripada pengusahanya,” ujar Shau Hwai ketika berucap pada Syarahan Umum sempena pelantikan beliau sebagai Profesor dekat Kompleks Cahaya Siswa USM pagi tadi.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil khir Johari dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Prof Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah.

Selain itu, Shau Hwai menyatakan bahawa penternakan tiram lebih mudah kerana ia tidak perlu diberi makan seperti ikan dan udang, sebaliknya mendapat makanan dari plankton sahaja.

“Antara kebaikan tiram tempatan termasuklah tiram yang segar, rasa yang sedap, rendah kolesterol serta amat diterima di peringkat antarabangsa,” ujarnya lanjut.

Pada sesi syarahan umum berkaitan, antara intipati lain yang turut dikongsikan beliau termasuklah projek pembiakan tiram gergasi di Johor serta kekayaan khazanah laut Malaysia.

Turut berlangsung pameran mengenai hidupan marin melibatkan moluska.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : ALVIE CHENG