Pengguna teruja rasai pengalaman naik feri katamaran percuma selama sebulan

KERAJAAN Persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM30 juta, sementara RM50 juta lain dibiayai Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), bagi kelancaran pengoperasian feri pengangkut penumpang jenis katamaran secara dua hala, dari Pengkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth ke Pelabuhan Swettenham, George Town.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini turut mengumumkan feri pengangkut penumpang jenis katamaran ini mula beroperasi di negeri Pulau Pinang secara percuma selama sebulan mulai 7 Ogos lalu.

Difahamkan, pada satu-satu masa, feri tersebut boleh membawa seramai 150 penumpang dan 50 kenderaan (jenis) motosikal dan basikal serta beroperasi seawal 6 pagi hingga 8.30 malam dengan kadar kekerapan pada waktu puncak setiap 30 minit sekali.

Di samping itu, feri jenis katamaran ini juga berkonsep baharu yang juga terdiri daripada empat unit yang akan beroperasi di negeri ini dikenali sebagai Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Teluk Duyung and Teluk Kampi.

Wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL berkesempatan menemu bual beberapa responden mengenai reaksi pengguna tentang perkhidmatan feri baharu ini.

GAMBAR menunjukkan ruangan dek bagi penunggang motosikal dan basikal.

Bagi THOO SHIN CHEN, yang menetap di Seberang Perai dan bekerja di bahagian Pulau turut berkongsi pengalaman pertama kali menaiki feri katamaran ini.

“Saya dimaklumkan bahawa feri baharu ini beroperasi secara percuma selama sebulan, disebabkan itu saya tidak melepaskan peluang untuk cuba rasai pengalamannya sendiri dah alang-alang hendak ke tempat kerja.

“Secara keseluruhannya, ketetapan masa dikira tepat dan pengguna hanya perlu menunggu sekitar 15 minit manakala 30 minit semasa waktu kemuncak.

“Saya agak berpuas hati, akan tetapi jika ditanya perkara yang boleh ditambah baik pada masa hadapan saya ingin mencadangkan ruang bagi penunggang motosikal dibesarkan sedikit kerana agak sempit,” ujarnya yang bekerja di pusat bandar George Town.

PENGGUNA feri katamaran mula membanjiri ruangan duduk sejak awal pagi beroperasi.

Sementara itu, NAZRI AWANG YAACOB yang ingin pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru turut berkesempatan menggunakan feri berkenaan untuk ke Penang Sentral terlebih dahulu.

“Ini merupakan kali pertama saya menggunakan feri katamaran dek ingin turun ke Penang Sentral dan menaiki bas untuk pulang ke negeri Johor Bahru.

“Saya ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PPSB yang berjaya mengekalkan mod pengangkutan sebegini untuk kemudahan semua, secara percuma pula tu.

“Jika dibandingkan dengan feri yang sebelumnya ketika diperkenalkan sekitar tahun 1894, banyak elemen yang telah dinaik taraf untuk keselesaan pengguna terutamanya dilengkapi dengan pendingin hawa,” jelasnya lanjut.

ANTARA kemudahan tempat duduk yang selesa bagi pengguna feri baharu ini.

Bagi A. SHARRWESH, perjalanan menaiki feri katamaran dari Pelabuhan Swettenham ke Pengkalan Sultan Abdul Halim terasa amat lancar dan selamat.

“Saya tidak henti tergamam apabila menaiki feri ini dari awal bergerak hingga hampir sampai ke pelabuhan seterusnya kerana sangat selesa dan lancar.

“Selain itu, feri juga bergerak dalam kelajuan yang bersesuaian dan tidak menimbulkan kerisauan terhadap pengguna yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

“Semua fasiliti dan kelengkapan juga dilihat sangat bertepatan untuk semua pengguna kerana dilengkapi ‘ramp’ pada kedua-dua hala pintu keluar masuk, kamera litar tertutup (CCTV), sistem pencegahan kebakaran, tandas awam dan banyak lagi,” tambahnya lagi.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SIEW CHIA EN & AMMAR MIKHAIL AAMER