GEORGE TOWN – Gangguan bekalan air yang berlaku, khususnya di kawasan Batu Kawan adalah berpunca daripada penggunaan air per kapita sehari (LKH) yang tinggi di negeri ini.
Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, Zairil Khir Johari penggunaan air pada masa ini adalah sebanyak 307 LKH, lebih dua kali ganda daripada sasaran purata nasional 180 LKH pada tahun 2025.
“Impak ini memberi kesan kepada tekanan air semasa waktu puncak dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan 6 petang hingga 11 malam.
“Selain itu, anggaran keperluan 10 tahun oleh Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah meningkat dalam tempoh empat tahun sahaja.
“Pembangunan yang pantas dalam sektor semikonduktor juga dilihat antara punca kepada masalah ini yang mana kita dapat melihat banyak industri baru khususnya di Seberang Perai Selatan (SPS) melebihi jangkaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Abidin dalam soalan lisan membangkitkan mengenai faktor pembangunan dan perindustrian di Batu Kawan yang dikatakan menjadi sebab utama masalah tekanan air rendah di negeri ini.
Mengulas lanjut, Zairil berkata antara punca lain adalah peningkatan peratusan kadar air tidak terhasil (NRW) kerana PBAPP terpaksa meningkatkan tekanan paip-paip utama supaya lebih banyak air dapat disalurkan kepada pengguna untuk kegunaan harian.
“Pengunaan pam persendirian dan penyambungan dari paip PBAPP secara haram juga menyebabkan gangguan kepada tekanan air sedia ada.
“Walau bagaimanapun, PBAPP akan berusaha sebaik mungkin untuk mengatasi masalah berkaitan,” katanya yang juga ADUN Tanjong Bunga.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangunan dan perindustrian di Batu Kawan dan Pulau Silikon bukanlah punca utama kepada masalah tekanan air di Mukim 5 Daerah SPS.
“Ini kerana PBAPP telah menerima sebanyak 2,844 permohonan Kebenaran Merancang di seluruh negeri Pulau Pinang untuk tempoh tahun 2019-2023.
“Permohonan yang diterima menunjukkan pertambahan permintaan bekalan air di seluruh negeri Pulau Pinang dan tidak tertumpu di kawasan Batu Kawan sahaja,” jelasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS