Penggunaan air mentah, Pulau Pinang kekal pendirian

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kekal dengan pendirian untuk tidak membayar sebarang pampasan kepada negeri Kedah berhubung penggunaan air mentah dari Sungai Ulu Muda.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa Pulau Pinang hanya mengekstrak sumber air mentah dari Sungai Ulu Muda di bahagian sempadan negeri sejajar dengan undang-undang dan hak antarabangsa berkaitan penggunaan air di negara ini.

Beliau berkata, perkara tersebut telah dinyatakan dengan jelas dalam jawapan balas oleh Perbadanan Air Pulau Pinang (PBAPP) kepada pihak pengusaha air negeri Kedah baru-baru ini.

“PBAPP sudah memberi jawapan bahawa kita (Pulau Pinang) tidak akan bayar kerana kita menggunakan hak kita dalam isu menggunakan air dari sungai khususnya di bahagian sempadan negeri Pulau Pinang sejajar dengan undang-undang dan hak antarabangsa,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong usaha negeri Kedah untuk menuntut pampasan daripada kerajaan Persekutuan sekiranya Hutan Simpan Ulu Muda digazetkan sebagai kawasan Hutan Simpanan Kekal.

“Kami kekal pendirian bahawa kami berhak terhadap air dan menyokong negeri Kedah untuk mendapatkan pampasan daripada kerajaan Persekutuan kerana mereka bertangungjawab terhadap sumber bekalan air mentah di negara ini.

“Memandangkan Menteri Besar Kedah adalah sebahagian daripada parti kerajaan pemerintah, jadi beliau sepatutnya boleh mengemukakan isu ini kerana sasaran beliau sepatutnya adalah kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan patut membayar pampasan kerana tidak membenarkan pembalakan di hutan-hutan tadahan di negeri Kedah demi memastikan sumber air mentah di tiga negeri di wilayah utara terjamin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah yang tidak membenarkan PBAPP memasuki mana-mana kawasan hutan di negeri itu sebagai kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab.

“Menteri Besar Kedah tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk pergi ke mana-mana tempat yang menjadi sebahagian daripada negara ini kecuali kawasan telah digazetkan.

“Walaupun Ulu Muda terletak di negeri Kedah, tetapi tidak ada apa-apa arahan untuk mana-mana pihak agar tidak memasuki ke kawasan itu.

“Saya juga tidak boleh menghalang Menteri Besar daripada melintasi Pulau Pinang sekiranya beliau mahu ke Perak atau Kuala Lumpur kerana tidak ada sekatan seperti itu dalam undang-undang di negara ini.

“Lagipun, banyak juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah melawat Ulu Muda kerana mereka bimbang tentang tindakan Kerajaan Negeri Kedah membenarkan pembalakan di kawasan tadahan air semula jadi yang menjadi sumber air mentah bagi 4.6 juta penduduk di wilayah utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” ulasnya.

Kon Yeow berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah yang tidak membenarkan PBAPP menceroboh kawasan hutan Ulu Muda kerana mendakwa kawasan itu terletak di bawah bidang kuasa dan kedaulatan negeri Kedah.

Terdahulu, PBAPP berkata bahawa penerokaan mineral elemen nadir bumi (REE) berskala besar di kawasan tadahan Ulu Muda termasuk Sik dan Baling di Kedah akan menjejaskan bekalan air untuk 4.2 juta penduduk di Perlis, Pulau Pinang serta Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa menyatakan bahawa demikian kerana kawasan tadahan air di Ulu Muda merupakan penghubung pertama dalam rangkaian nilai bekalan air Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang memenuhi keperluan air penduduk dan perniagaan di tiga negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah dalam jawapan balasnya mengingatkan PBAPP supaya membayar tuntutan berjumlah RM50 juta setahun yang dibuat Kerajaan Negeri Kedah sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau kritikan berhubung proses pembekalan air dari kawasan Ulu Muda.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : CHAN KOK KUAN