Penggunaan dana ‘tawaquf’ ditentukan jawatankuasa fatwa negeri – TKM I

Admin
img 20240528 wa0006

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menjelaskan bahawa penggunaan dana tawaquf atau lebihan wang zakat adalah ditentukan oleh jawatankuasa fatwa negeri Pulau Pinang.

Beliau yang juga yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat sini pagi tadi.

“Keputusan daripada Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan dipersetujui oleh MAINPP supaya belanjawan tawaquf mestilah melalui kelulusan jawatankuasa fatwa negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Mufti, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

“Ini bermakna, MAINPP menerima cadangan daripada jabatan dan agensi untuk dibawa kepada ZPP dan kemudian diangkat ke jawatankuasa berkaitan untuk dibincangkan, diperhalusi dan diperincikan.

“Apabila diluluskan pada peringkat jawatankuasa berkaitan, cadangan tersebut kemudian diangkat kepada jawatankuasa fatwa negeri untuk dibincang, diperinci dan dibentangkan oleh pihak yang membawa cadangan tersebut kepada MAINPP.

“Setelah dihukumkan harus oleh jawatankuasa fatwa negeri, barulah cadangan tersebut dibawa semula kepada MAINPP untuk diputuskan,” jelasnya.

Mohamad memberitahu bahawa jumlah dana lebihan wang zakat yang tidak dibelanjakan terkumpul dari tahun 2018 sehingga Mei 2024 adalah berjumlah RM123,104,140.70.

“Senarai perbelanjaan tawaquf hingga Mei 2024 adalah meliputi perbelanjaan bagi elaun tambahan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), bantuan khas COVID-19, menaik taraf Pusat Haemodialisis Zakat (PHZ) Tasek Gelugor dan Program Tunas Usahawan – SME Corp.

“Selain itu, dana tawaquf turut dibelanjakan bagi tujuan sumbangan kepada tabung bantuan kemanusiaan, bangunan asrama pelajar Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang, Penang Islamic Digital Library serta seminar kefatwaan.

“Program KAFA Menengah, pentadbiran dan pengurusan MAINPP, bantuan awal persekolahan, Pangsapuri Asnaf Wakaf Seetee Aisah, naik taraf infrastruktur Pusat Latihan Zakat (PULAZA), naik taraf infrastruktur Inapan Kasih Sayang dan lain-lain turut menggunakan dana tawaquf.

“Pelaksanaan kesemua program yang disenaraikan adalah membabitkan peruntukan dana tawaquf berjumlah RM13,121,770.04 sehingga tahun 2024,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING