Penggunaan lampu LED mampu wujudkan persekitaran lebih selamat

Admin

KERAJAAN Negeri berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di negara ini yang menggunakan 100 peratus lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) menjelang tahun 2022.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, penggunaan lampu LED lebih menjimatkan tenaga, kos penyelenggaraan yang rendah serta mesra alam.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara SUNARTI YUSOFF dan jurugambar NOOR SITI NABILAH NOORAZIS berkesempatan meninjau pandangan umum berhubung perkara tersebut untuk melihat sejauh mana ia memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

LATIFAH HUSSAINSA.

Bagi Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), LATIFAH HUSSAINSA berkata, beliau menyokong 100 peratus hasrat Kerajaan Negeri sekiranya tidak timbul sebarang masalah berbangkit selepas pemasangan lampu jalan LED di negeri ini.

“Saya amat menghargai dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang pintar merancang demi keselesaan negeri dan rakyat tercinta,” katanya.

K.V. RAMAN.

Sementara itu, Pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi hak asasi manusia yang bertapak di Seberang Perai, K.V. RAMAN, 59, berkata bahawa hasrat murni Kerajaan Negeri tersebut adalah wajar disokong oleh semua pihak.

Menurutnya, pencahayaan yang sempurna amat penting untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.

“Langkah Kerajaan Negeri ini wajar dipuji dan amat dialu-alukan demi kepentingan rakyat.

“Contohnya, di Seberang Perai kita boleh lihat jalan-jalan di sekitar kawasan Raja Uda sudah menggunakan lampu LED yang mana pencahayaannya lebih terang berbanding kawasan-kawasan yang menggunakan lampu biasa.

“Pencahayaan ini sangat penting terutamanya untuk pemandu selain mampu mencegah kes-kes jenayah seperti rompakan, ragut dan sebagainya,” jelasnya lagi.

AMIRAH BAHAROM.

AMIRAH BAHAROM, 23, seorang operator kilang pula berpendapat bahawa sebarang usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat terbanyak patut disokong.

“Usaha ini biarpun mungkin bagi sesetengah orang tidak ada kesan ketara tetapi bagi saya yang bekerja mengikut ‘shift’ sangat penting terutamanya dalam aspek keselamatan pada waktu malam,” ujarnya.

NUR RIESMA FADILA RAZALI.

Pelajar kolej swasta, NUR RIESMA FADILA RAZALI, 21, berpendapat bahawa penggunaan lampu jenis LED mampu menjimatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri.

Justeru, beliau menyarankan agar hasil daripada penjimatan tersebut akan disalurkan untuk pembangunan golongan belia di negeri ini.

“Sekiranya penggunaan lampu jenis LED boleh jimatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri bermakna inisiatif itu amat baik.

“Wang yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk pembangunan lain yang lebih penting dan memberi manfaat kepada rakyat seperti pendidikan atau program yang boleh menjana pendapatan untuk golongan belia di negeri ini,” ujarnya lagi.