Penghargaan buat KITAB dalam memartabatkan mutu pendidikan Islam

Admin
KETUA Menteri (tengah) menerima cenderamata daripada Dr. Roslan Ahmad (kiri) dengan diiringi Prof. Dr. Mohamad Abdul Hamid semasa kunjungan hormat di KOMTAR tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow lewat petang tadi menerima kunjungan hormat daripada pihak pengurusan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) di pejabatnya dekat Komtar.

Kunjungan diketuai Rektor, Prof. Dr. Mohamad Abdul Hamid, Dr. Roslan Ahmad (Pengerusi Lembaga Pengarah KITAB) serta beberapa ahli akademik lain.

Dalam pertemuan selama kira-kira 30 minit itu, pihak pengurusan kolej membentangkan cadangan untuk menaik taraf kolej kepada kolej universiti.

Dalam reaksi balas, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi mencadangkan syor KITAB itu dibentangkan kepada Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman terlebih dahulu.

Menurut beliau, dengan berbuat demikian, ia membolehkan Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti membuat pertimbangan lanjut, seterusnya membentangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Selain itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan atas komitmen pihak pengurusan dan ahli akademik KITAB dalam memartabatkan mutu pendidikan Islam di Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD