Penghuni PPR Taman Manggis syukur terima sumbangan barangan makanan kali kedua

Admin

PADANG KOTA – Para penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis syukur menerima sumbangan berupa barangan keperluan makanan buat kali kedua sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar keprihatinan pihak Kerajaan Negeri dapat meringankan beban golongan yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Saya percaya sumbangan ini sedikit-sebanyak dapat mengurangkan beban sekaligus membantu golongan terkesan di PPR ini.

“Pengedaran sumbangan ini diberikan kepada semua 309 unit di sini, mereka (penghuni) rata-ratanya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah B40… dan keutamaan kita adalah terhadap golongan yang terkesan dengan COVID-19,” ujarnya yang merupakan Ahli Parlimen Tanjong (ahli parlimen kawasan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pada majlis berkaitan di sini tadi.

Hadir sama, ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Dr. Tan Kim Hooi (Setiausaha Politik Ahli Parlimen Tanjong); Ir. A. Anilarasu (Pengarah Urusan Kumpulan Aspen Group) dan Ong Eng Choon (Presiden Persatuan Hui Lam Jalan Kedah).

Pada majlis tersebut, setiap unit menerima barangan keperluan makanan asas seperti beras, minyak, tepung dan barang-barang kering yang bernilai kira-kira RM100 setiap pek hasil sumbangan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Turut diterima, baucar pembelian susu tepung yang ditaja pihak swasta, Persatuan Hui Lam, Jalan Kedah.

Manakala sebahagian barangan makanan asas merupakan sumbangan daripada Aspen Group yang melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan peruntukan kira-kira RM15,000.

Menurut Kim Hooi, bagi mengurangkan beban penghuni di PPR berkenaan, sebanyak tiga sumbangan dijangka diserahkan kepada penduduk dalam tempoh terdekat.

“Ini adalah sumbangan kali kedua, sumbangan pertama telah diberikan sebelum ini melibatkan peruntukan kira-kira RM10,000 oleh Y.A.B. Ketua Menteri.

“Manakala, pemberian ketiga dijangka dilakukan pada minggu hadapan,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : LAW SUUN TING