‘Pengiktirafan kepada pengundi, rangsangan bekerja lebih kuat’ – Malik, Patahiyah

Admin

GEORGE TOWN – Perjuangan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim sejak tahun 70-an dalam arena politik negeri akhirnya memperoleh pengiktirafan negeri Pulau Pinang apabila dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.

iSTERi kepada Abdul Malik Abul Kassim membetulkan pingat yang diterima beliau.
iSTERi kepada Abdul Malik Abul
Kassim membetulkan pingat yang
diterima beliau.

Pengiktirafan tersebut adalah bersempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di sini baru-baru ini. Turut menerima anugerah sama adalah Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Ar. Patahiyah Ismail.

Abdul Malik ketika ditemui menyatakan bahawa anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada beliau yang juga pernah mendapat Pingat Jasa Masyarakat (PJM) pada tahun 1993.

“Bagi saya, ini merupakan pengiktirafan kepada pengundi yang telah memberi amanat kepada saya.

“Bukan untuk diri sendiri semata-mata, malah, saya juga dapat melihat kegembiraan pengundi saya selepas memperoleh pengiktirafan ini,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Patahiyah menyatakan bahawa beliau agak terkejut dengan anugerah yang diberikan. Dalam pada itu, beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang dan mencalonkan dirinya.

“Saya amat berterima kasih. Pengiktirafan tersebut merupakan satu lagi rangsangan untuk saya bekerja dengan lebih kuat selepas ini.

“Saya mungkin tidak nampak, tetapi, pihak di luar nampak kekuatan pihak kita melaksanakan tugas serta hasilnya dan juga semua pihak yang menyokong saya dari awal,” ujarnya.

Seramai 1,138 individu telah terpilh sebagai penerima pingat darjah kebesaran negeri sempena Sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas yang ke-74 baru-baru ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria telah mendahului senarai penerima dengan penganugerahan Darjah Utama Pangkuan negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.