BAYAN BARU – Kegigihan dan insiatif dalam menjana industri perabot sehingga mendapat permintaan di peringkat antarabangsa oleh para pengilang serta pertubuhan industri perabot tempatan memperoleh pujian daripada Ketua Menteri bersempena penganjuran Penang Furniture Exhibition (PENFURNEX) 2012 di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, menyeru supaya penggiat industri perabot agar meneruskan usaha pembuatan perabot berasakan hijau atau green furniture kerana ianya penting dalam mengimbangi pembangunan ekonomi serta persekitaran bagi tempoh masa panjang.
“Cabaran dalam pembangunan dan keseimbangan persekitaran dalam industri pembuatan perabot adalah nilai perabot sama ada melalui kualiti, keselamatan, keutuhan dan intergriti.
“Pembangunan industri perabot akan terus dibangunkan melalui tambah nilai dan penambahbaikan pembuatan melalui penggunaan bahan mentah (kayu-kayan) yang berkualiti. Justeru, adalah mustahak, melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penggunaan teknologi untuk menghasilkan perabot yang bermutu tinggi,’’ katanya pada Majlis Perasmian PENFURNEX 2012 di sini baru-baru ini.
Menariknya, bersempena penganjuran tersebut, sebuah kerusi gergasi berketinggian 20 kaki turut dipamerkan. Kerusi gergasi tersebut adalah hasil rekaan pelajar Kolej KDU Pulau Pinang, Lee Kuan Hong yang berjaya menggondol hadiah utama Pertandingan Rekaan Kerusi Gergasi baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Pengelola PENFURNEX, Richard Ooi, pameran yang diadakan itu mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri dan para penggiat industri pembuatan perabot. Malah, saban tahun, penyertaan para pemamer di PENFURNEX mencatatkan peningkatan dengan lebih 100 pemamer mengambil bahagian (kali ini).
Bagi Presiden Penang Furniture & Timber Industry Association, Ngai Chin Soon berkata, pameran berkenaan dilihat sebagai titik tolak kepada pengusaha-pengusaha perabot dan perkakasan rumah untuk mempromosikan produk masing-masing bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah, antarabangsa.