GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow amat menyanjungi dan menghargai pengorbanan pasukan Bomba dan Penyelamat sebagai antara barisan hadapan yang sentiasa melaksanakan tugas dengan berani dan penuh dedikasi dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Saban hari, tugas dan peranan anggota bomba dilihat semakin meluas dan mencabar yang mana tidak hanya terhad kepada kerja-kerja memadam dan mengawal api kebakaran, malah turut menuntut untuk sentiasa bersiap sedia dalam memberikan perkhidmatan profesional.
“Bidang kerja tuan-tuan dan puan-puan adalah amat dihargai terutamanya kepada masyarakat termasuk ketika bersama-sama Kerajaan Negeri dalam mengekang penularan wabak COVID-19,” ujarnya pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Bersama-sama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bertempat di Balai Bomba Lebuh Pantai di sini tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengarah JBPM Negeri Pulau Pinang, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Saadon Moktar.
Mengulas mengenai bangunan ikonik serta bersejarah Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Kon Yeow menyatakan bahawa ia merupakan aset penting yang terletak di tengah bandar raya George Town.
“Seperti mana sedia maklum, bangunan ini merupakan sebuah bangunan warisan Kategori 1 dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
“Malah, kedudukannya yang strategik menjadikannya antara satu aset penting dalam mengelakkan berlakunya kejadian malapetaka di sekitar kawasan George Town, khususnya Tapak Warisan Dunia UNESCO ini,” jelasnya lanjut.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong menyatakan bahawa majlis yang dianjurkan pada malam ini bukan hanya sekadar untuk meraikan sambutan Aidilfitri, malah juga merupakan peluang untuk mengukuhkan jalinan kerjasama strategik yang lebih baik antara Kerajaan Negeri dengan agensi Persekutuan sedia ada.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD