Penguatkuasa di bawah pentadbiran MPPP

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menyangkal kenyataan artikel disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina bertarikh 14 Januari lalu yang melaporkan bahawa terdapat kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit berkhidmat di bawah syarikat Alam Indah Sdn. Bhd. (Alam Indah).

Alam Indah merupakan syarikat yang memenangi tender cetakan tiket berkupon MPPP tahun lalu.

Bahagian Perhubungan Awam MPPP memberitahu, kenyataan menyatakan bahawa terdapat Minit Mesyuarat Khas Penarikan Balik Kakitangan MPPP dari Alam Indah pada 6 Disember 2014 adalah tidak benar.

“Juga tiada keputusan khas dibuat meminta kakitangan MPPP bertugas di bawah pengurusan Alam Indah,’’ jelas kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Tambah kenyataan tersebut, sebagai makluman, Kakitangan Penguatkuasa adalah di bawah pentadbiran MPPP yang ditugaskan menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan ke atas sistem letak kereta berkupon.

“Semua kakitangan yang ditugaskan itu adalah bagi membantu melancarkan sistem letak kereta berkupon yang telah dimulakan secara rasmi pada 1 Januari 2015.

“Justeru, tuduhan ini adalah tidak berasas dan MPPP menyangkal bahawa kakitangan kami (MPPP) bekerja di bawah perkhidmatan Alam Indah,’’ tegasnya.