Penguatkuasaan pengasingan sisa kediaman bertanah mulai 1 Januari, Exco seru sokongan umum

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menetapkan tindakan penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bagi premis kediaman bertanah akan dilaksanakan secara mandatori mulai 1 Januari 2019 ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, tindakan penguatkuasaan itu sudah dilaksanakan secara berperingkat sebelum ini bagi bangunan milikan strata atau bertingkat sejak 1 Jun 2017 serta bagi premis komersial (mulai 1 Januari 2018).

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu adalah sejajar dengan pewartaan Undang-undang Kecil Pengasingan Sampah dan Pelesenan Perkhidmatan Pemungutan Sampah Yang Boleh Dikitar Semula 2016 bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Tindakan penguatkuasaan bagi kediaman strata (bertingkat) dan premis komersial adalah mengikut peruntukan undang-undang kecil yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri pada 1 Jun 2016.

“(Dan) kini, ia diperluaskan bagi premis kediaman bertanah iaitu mulai 1 Januari 2019, dengan kompaun kesalahan RM250,” ujar beliau kepada media sejurus mengadakan pemeriksaan mengejut di tapak pengasingan sisa kediaman strata, 86 Avenue Residences dekat Lengkok Perak off Lorong Perak di sini pagi ini.

JAGDEEP Singh Deo (kanan sekali) bersama-sama wakil-wakil dari Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan MBPP pada pemeriksaan mengejut dekat tapak pengasingan sisa 86 Avenue Residences di sini pagi ini.

Turut sama, Ketua Unit Pengurusan Sisa Pepejal Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Oon Lai Kuan; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Mubarak Junus; Ahli Majlis MBPP, Theng Jie Wey serta wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) 86 Avenue Residences.

Jagdeep memberitahu, pelaksanaan tindakan penguatkuasaan itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang lebih bersih, lebih hijau, lebih sihat, lebih selamat dan pintar.

“Oleh demikian, saya berharap rakyat Pulau Pinang dapat menunjukkan sokongan dan bekerjasama untuk melaksanakan program pengasingan sisa di punca ini yang pastinya dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat kini malah juga generasi akan datang.

“Kita (sebagai rakyat Pulau Pinang) seharusnya menunjukkan satu teladan yang baik kepada negeri-negeri lain di Malaysia dengan menjayakan inisiatif hijau ini kerana kita (Pulau Pinang) merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan inisiatif ini dengan jayanya.

“Adakalanya benda-benda kecil seperti membuang sampah di tempat yang sewajarnya mampu mendidik dan memberi impak positif terhadap alam sekitar kita,” jelasnya.

Tambah Jagdeep, sejak tindakan penguatkuasaan dijalankan, sejumlah 331 kompaun dikeluarkan melibatkan premis komersial sebanyak 300 kompaun dan kediaman strata (31).

“Manakala, pemeriksaan yang dilaksanakan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (MBPP dan MPSP) pula menunjukkan sejumlah 306,820 premis telah diperiksa dan 175,053 notis pemakluman dikeluarkan sejak 1 Jun 2017.

“Sebagai makluman, bagi MBPP sahaja, barangan kitar semula yang dikutip pada setiap hari Sabtu di kediaman bertanah dari Januari sehingga November 2018 lalu adalah sebanyak 11,044.7 kilogram dengan hasil jualan mencecah RM4,232.88.

“Jadi, sekali lagi saya menyeru agar semua rakyat Pulau Pinang dapat menyokong inisiatif ini sekaligus menyokong usaha dan hasrat Kerajaan Negeri untuk mengurangkan penghasilan sisa di punca,” seru beliau.

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI