Pengubahsuaian Pasar Rifle Range siap lebih awal

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

ONG Khan Lee (baju biru) menunjukkan tapak penyembelihan ayam baru di Pasar Rifle Range di sini baru-baru ini.
ONG Khan Lee (baju biru) menunjukkan tapak penyembelihan ayam baru di Pasar Rifle Range di sini baru-baru ini.

KEBUN BUNGA – Para peniaga ayam di Pasar Rifle Range mampu menarik nafas lega apabila cadangan pembinaan lokasi penyembelihan ayam oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebelum ini telah diimplementasikan dan projek berkenaan dijangka dapat disiapkan lebih awal dari tarikh dijadualkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Ong Khan Lee berkata, beliau turut berpuas hati dengan perkembangan projek pembinaan berkenaan yang telah 90 peratus disiapkan.
“ Pembinaan projek tempat penyembelihan ayam berkenaan pada asalnya dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2012. Namun, kini, perkembangan projek lebih cepat 44 peratus (66 hari) daripada tarikh yang telah diberikan kepada kontraktor dilantik,’’ katanya selepas mengadakan lawatan ke lokasi tersebut di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, projek yang dibiayai MPPP dengan kos RM155,000.00 adalah melibatkan kerja-kerja membina semula tapak penjaja, pemasangan paip air baru bagi mengelakkan masalah kebocoran, pendawaian elektrik dan sistem perparitan baru.
“Terima kasih kepada semua penjaja yang memberikan kerjasama penuh sepanjang proses pembinaan dijalankan
walaupun pada dasarnya mereka (peniaga) ditempatkan di tapak penjaja sementara bersebelahan pasar ini yang
tidak berapa selesa.
“Sekiranya projek ini dapat siap sepenuhnya pada tempoh lebih awal, diharapkan pihak MPPP dapat melakukan penyerahan tapak secepat yang mungkin agar mereka (peniaga) dapat menjalankan perniagaan dalam suasana lebih selesa,” ujarnya lagi.
Hadir sama Ahli Majlis MPPP, Felix Ooi Keat Hin.