SETELAH siap dinaik taraf dan dirasmikan pada Mei 2024, Terminal Bas Sungai Nibong sudah beroperasi semula pada kadar penuh sehingga kini.
Buletin Mutiara ketika meninjau keadaan semasa di terminal yang sudah beroperasi kira-kira lapan bulan itu mendapati keadaan di terminal lebih baik berbanding sebelum ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, JASON HNG’ MOOI LYE dalam satu maklum balas menyatakan terminal tersebut kini beroperasi dengan lebih tersusun dan moden.
“Namun kerja-kerja naik taraf fasa dua terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada cadangan pembinaan salah satu stesen transik aliran ringan (LRT) di kawasan tersebut.
“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga telah meluluskan pembaharuan kontrak syarikat pengendali Easybook (M) Sdn. Bhd. sebagai syarikat pengurusan selama tempoh tiga tahun, iaitu dari 1 September 2024 hingga 31 Ogos 2027, dengan kadar sewa kekal RM20,000 sebulan,” maklum beliau kepada Buletin Mutiara.
Berhubung kadar penggunaan terminal bas, Mooi Lai memaklumkan kemudahan itu digunakan oleh kira-kira 1,000 penumpang setiap hari berdasarkan data yang disediakan oleh syarikat pengurusan.
Pada musim perayaan, jumlah ini meningkat tiga kali ganda.
Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. KUMARESAN ketika dihubungi memberitahu bahawa antara respons orang awam yang sering beliau terima adalah menambah bilangan kerusi menunggu di ruangan atas dan ruangan menunggu.
“Itu apa yang saya terima daripada public, tambahan lagi mereka minta kalau boleh tambahkan bilangan kipas, lebih baik jika ada penyaman udara, sebab ruangan menunggu agak panas.
“Isu kebersihan, parkir dan lain-lain setakat ini belum diterima dan saya rasa itu diuruskan dengan baik sambil dipantau oleh pihak MBPP,” respons beliau.
Sementara itu, Ahli Majlis MBPP, LEE WEI SEANG, ketika diminta mengulas, memberitahu bahawa beliau akan mendapatkan maklumat lebih terperinci dari jabatan MBPP terlibat memandangkan Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalu Lintas baru sahaja dibentuk awal tahun ini setelah pelantikan terbaru Ahli Majlis.
Bagi pengguna, INTAN SYAHMINA RAMSY, 23, selepas dinaik taraf, terminal tersebut lebih teratur.
“Sistem pembelian tiket pun lebih mudah, gangguan ‘ulat tiket’ pun berkurangan dan pergerakan lebih teratur.
“Kemudahan seperti escalator dan lif memang terbaik, cuma kalau pihak pengurusan boleh naik taraf adakan penyaman udara lebih baik dan selesa,” ujarnya yang kerap menggunakan terminal tersebut untuk berulang-alik ke Kuala Lumpur.
Seorang lagi pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), SHARIFAH MAISARAH SYED KHALID berkata bahawa terminal selepas dinaik taraf lebih moden daripada sebelumnya.
“Kalau sebelum ini pembelian tiket hanyalah secara manual dan dalam talian, sekarang turut ditambah kiosk yang memudahkan lagi pembelian, kedai banyak dan tapak parkir juga mencukupi,’’ katanya.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI & NUR BATRISYIA IDRUS
Jurugambar: SITI NURATIKAH RAHMAT