Pengunjung, peniaga pasar awam perlu patuhi SOP – Exco

Admin

DATUK KERAMAT – Para peniaga dan penjaja kecil di pasar-pasar awam di negeri ini disarankan supaya mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya penularan virus COVID-19 dalam kalangan komuniti setempat.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, semua peniaga dan penjaja kecil termasuk pengunjung pasar-pasar awam harus memberikan kerjasama sewajarnya demi memastikan kesihatan serta keselamatan awam terjamin.

 

JAGDEEP Singh Deo (tengah) ditemani Ir. Addnan Mohd. Razali (kanan) mengedarkan pelitup muka kepada salah seorang peniaga di sini.

 

Saya harap semua peniaga dan penjaja kecil untuk terus mematuhi SOP serta memastikan anda (peniaga dan penjaja kecil) divaksinkan dan melakukan saringan secara berkala.

 

“Bukan mudah untuk pihak berkuasa tempatan menutup (operasi) pasar awam, kerana ia merupakan ‘periuk nasi’ peniaga dan penjaja kecil, namun kami (pihak berkuasa tempatan) tidak mempunyai pilihan (tutup sekiranya terdapat pelanggaran SOP),” ujarnya pada sidang media yang disiar secara langsung menerusi laman Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

Terdahulu Jagdeep, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, pada pagi ini bersama-sama Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali hadir ke Pasar Awam Jalan Kuantan dekat sini bagi memantau pembukaan semula pasar tersebut.

 

Melalui satu kenyataan media oleh MBPP, pasar tersebut ditutup pada 18 September lalu berikutan terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang melibatkan peniaga dan pembantu gerai. Penutupan tersebut melibatkan 78 buah gerai bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi dilakukan.

 

PASAR Awam Jalan Kuantan kini dibuka semula.

 

Dalam pada itu, Addnan mengulangi saranan Jagdeep dengan menasihati para pengunjung serta peniaga dan penjaja di pasar awam supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil termasuk menutup operasi perniagaan.

 

“Pihak Majlis akan sentiasa membuat pemantauan di pasar-pasar awam bagi memastikan kawalan pengunjung serta pematuhan SOP yang baik setiap masa,” katanya.

 

Difahamkan sejak 18 Mac 2020, sebanyak 33 pasar awam di seluruh negeri ini telah diarahkan tutup melibatkan 16 pasar awam di bahagian pulau dan Seberang Perai (17).

 

Mengulas lanjut Jagdeep memaklumkan bahawa terdapat satu pasar awam di bahagian pulau yang ditutup dua kali iaitu Pasar Awam Batu Lancang manakala di bahagian Seberang Perai pula melibatkan Pasar Awam Bukit Mertajam dan Pasar Awam Tasek Gelugor yang masih ditutup sehingga 9 Oktober ini. Penutupan tersebut adalah membabitkan tapak penjaja sementara (TPS) di kedua-dua bahagian PBT.

 

Selain pasar awam dan TPS kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) turut membuat penutupan premis melibatkan premis perniagaan, pusat hiburan, kompleks makanan, kilang dan tapak binaan.

 

“Setakat hari ini, sebanyak 82 premis di bahagian pulau dan Seberang Perai (2,161) premis telah diarahkan tutup pengoperasiannya akibat pelanggaran SOP,” katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep menyatakan bahawa sejumlah 250 kit ujian kendiri telah diagihkan kepada para peniaga serta penjaja kecil di Pasar Awam Jalan Kuantan.

 

“Selain itu, saya juga telah membiayai RM4,500 kos saringan kepada peniaga dan penjaja kecil di sini.

 

“Seramai 47 peniaga dan penjaja kecil termasuk pekerja mereka di sini telah disaring dan keputusan sehingga pagi ini kesemuanya negatif,” jelasnya yang masih menunggu keputusan ujian saringan baki peniaga dan penjaja kecil di Pasar Awam Jalan Kuantan ini.

 

Sebagai rekod, seramai 8,957 peniaga dan penjaja kecil atau 91.8 peratus di bahagian pulau telah divaksinkan, manakala di Seberang Perai (9,758 orang, 92.7 peratus). Terdapat seramai 20,284 peniaga dan penjaja kecil di negeri ini.

 

Dalam perkembangan berasingan, Jagdeep turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan sejumlah RM150 juta bagi membiayai Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang pada Rancangan Malaysia Ke-11 dan akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

 

“Jawapan yang diterima di Parlimen, oleh Menteri Alam Sekitar dan Air kepada Ketua Menteri berhubung kelewatan pada peringkat reka bentuk adalah disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac tahun lalu.

 

“Projek ini dijangka dapat dimulakan pada bulan Jun 2022 dan dijangka siap menjelang Jun 2026.

 

“(Dan) sebagai wakil rakyat, di sini saya ucapkan terima kasih atas usaha ini kerana kita (Pulau Pinang) telah menunggu sekian lama untuk projek ini disiapkan secepat mungkin,” jelasnya.

 

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan jawapan yang diterima di Parlimen berhubung Projek RTB Lembangan Sungai Pinang.

 

Projek RTB Lembangan Sungai Pinang telah dimulakan pada tahun 1999 namun kerana terdapat 232 setinggan di tebing sungai projek ini tergendala seketika bagi memberi laluan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (Pakatan Rakyat ketika itu) menyelesaikan isu penempatan semula.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING