O l e h : WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow menggesa pengusaha-pengusaha hotel supaya ‘memutihkan’ operasi masing-masing di negeri ini dengan membuat permohonan lesen pada kadar secepat mungkin bagi mengelakkan tindakan lanjut diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini.
Perkara tersebut disuarakan beliau pada Majlis Taklimat Pemutihan Hotel Tanpa Lesen di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang
(MPPP) di sini baru-baru ini.
“Proses ini sebenarnya bertujuan mengelakkan pengusaha-pengusaha hotel diambil tindakan seperti saman atau disita ekoran premis tidak mempunyai lesen.
“Pemilik hotel yang pernah memohon namun tidak diluluskan sebelum ini turut digesa mengemukakan permohonan baru.
“Proses permohonan ini dilihat begitu mudah jika semua syarat-syarat berkaitan dipatuhi,” jelasnya di sini baru-baru ini.
Kon Yeow memberitahu, antara faktor kegagalan dihadapi pengusaha-pengusaha hotel bagi mendapatkan lesen adalah premis masing-masing tidak mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan pihak Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MPPP.
“Tangga keselamatan adalah satu ciri keselamatan yang amat dititikberatkan.
“Namun, sesetengah premis tidak menyediakan tangga tersebut berikutan saiz operasi yang kecil dan apabila dibina di luar, contohnya, di lorong-lorong, ianya akan mengganggu kawasan berkenaan (luar) sehinggakan menyukarkan operasi lori sampah,’’ jelasnya.
Pada masa sama, Kon Yeow turut menyatakan bahawa pengubahsuaian yang tidak mengikut spesifikasi seperti kediaman yang ingin ditukar kepada premis komersial turut menjadi halangan mendapatkan lesen berkaitan.
Mengulas lanjut, nyatanya, sehingga kini, sebanyak 135 hotel di bahagian pulau dipercayai tiada lesen dan Seberang Perai (20).
Bagi pihak yang ingin membuat permohonan lesen hotel, rumah peranginan dan seumpamanya, sila ke Pejabat Perlesesan MPPP berhadapan persimpangan Little India melalui Lebuh Pantai di sini.