Pengusaha ladang khinzir digesa naik taraf ladang kepada sistem tertutup sebelum hujung tahun ini – Exco

Admin

PANTAI JEREJAK – Kesemua pengusaha ladang khinzir di negeri ini digesa untuk menaik taraf ladang mereka kepada sistem tertutup selewat-lewatnya hujung tahun ini.

 

Gesaan tersebut dibuat Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin sejajar dengan Enakmen Penternakan Babi 2016 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2017.

 

Afif berkata enakmen yang diwartakan tersebut adalah langkah untuk menyelesaikan isu-isu pencemaran berkaitan khinzir yang telah berlanjutan hampir 40 tahun lalu.

 

“Pencemaran ini telah berlaku begitu lama, kita (Kerajaan Negeri) telah lihat kepada undang-undang sedia ada di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

“Jika sebelum ini pembuangan sisa najis khinzir ini terus disalurkan ke saliran melalui longkang dan masuk terus ke sungai.

 

“Tetapi melalui enakmen yang diluluskan ini, ladang kini yang bersifat terbuka perlu diubah suai kepada ladang tertutup bagi menangani isu-isu pencemaran udara, bau, air dan lalat,” ujarnya selepas merasmikan 1st Northern Region UltraSound Handheld Course (NRUSH) di sini pagi ini.

 

Afif berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan media berhubung rintihan penduduk Kampung Air Melintas Kecil dekat Tasek Gelugor berhubung isu najis khinzir yang didakwa mencemari sungai berdekatan kampung berkenaan kelmarin (7 April 2019).

 

Mengulas lanjut, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata, kesemua 156 pengusaha ladang khinzir berkenaan diberikan tempoh sehingga hujung tahun ini untuk menaik taraf ladang mereka sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan.

 

“Saya jangkakan bila kita (Kerajaan Negeri bersama-sama agensi berwajib) menjalankan penguatkuasaan nanti, semua ladang ini iaitu 147 di bahagian Seberang dan pulau (sembilan) telah dinaiktaraf sepenuhnya.

 

“Dengan cara ini saja dapat mengurangkan masalah pencemaran ini.

 

“Mengikut enakmen ini, jika ingkar ladang-ladang ini boleh ditutup, justeru pengusaha masih diberikan peluang sehingga hujung tahun ini, walaupun pada asalnya perintah ini telah tamat pada tahun lalu (2018),” ujar beliau.

 

Ketika ditanya berhubung dakwaan penternakan khinzir yang melebihi had, Afif sebagai respons berkata perkara itu tidak timbul ekoran Jabatan Veterinar Negeri sememangnya sentiasa memantau dan mengawal segala aktiviti pengusaha ladang.

 

“Jabatan Veterinar memang sentiasa memantau jumlah populasi dan kini kita (Pulau Pinang) mempunyai sejumlah 300,000 populasi khinzir.

 

“Dan mengikut enakmen ini turut menyatakan berapakah populasi yang boleh diternak bagi setiap pengusaha berdasarkan kepada keluasan ladang masing-masing,” ujarnya lanjut.