Peniaga bazar dinasihatkan sentiasa jaga kebersihan, tawarkan harga patut

Admin
whatsapp image 2025 03 01 at 16.21.57

PANTAI JEREJAK – Para peniaga bazar Ramadan dinasihatkan supaya menitikberatkan kebersihan makanan selain memastikan harga yang ditawarkan adalah berpatutan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian selepas hadir merasmikan gelanggang pickelball dekat pasar raya Giant Bayan Baru di sini sebentar tadi.

“Saya percaya bahawa mulai esok banyak bazar Ramadan akan mula beroperasi di banyak tempat membabitkan bahagian pulau dan Seberang Perai.

Oleh itu, saya ingin menyeru (kepada para peniaga bazar Ramadan), dalam situasi ekonomi sekarang, biarlah harga yang ditawarkan adalah berpatutan.

“(Dan) pada masa sama, menjaga tahap kebersihan supaya tidak menimbulkan apa-apa kejadian (seperti) keracunan makanan dan sebagainya agar Ramadan membawa keberkatan“,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dapat melaksanakan pemeriksaan secara rawak di bazar-bazar Ramadan seluruh negeri.

“Ini adalah sebagai satu peringatan kepada para peniaga bahawa kebersihan adalah penting (dalam penyajian makanan dan minuman) di samping memastikan harga yang berpatutan,” jelasnya.

Mengambil kesempatan itu, Kon Yeow juga menzahirkan ucapan istimewa buat semua umat Islam khasnya di Pulau Pinang.

“Selamat menjalani ibadah puasa dan marilah sama-sama kita memastikan Ramadan dihayati oleh semua,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS