SEBERANG JAYA – Peniaga berkaitan aktiviti sukan dan pusat kecerdasan yang berdaftar di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) digesa supaya segera memohon insentif bantuan kewangan RM500 secara ‘one-off’ sebelum 30 November 2021.
Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa permohonan boleh dibuat melalui Bahagian Perniagaan MBPS dengan melayari pautan http://bantuanRM500-covid.mbsp.gov.my/sukan.php.
“Pakej ini telah mula disediakan oleh Kerajaan Negeri pada April 2020.
“Sebanyak 108 pemegang lesen telah dikenal pasti layak untuk menerima bantuan, namun hanya 18 orang atau syarikat sahaja telah mengemukakan permohonan dan diluluskan bayaran melalui siri (Pakej bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0) tersebut.
“Sekiranya mereka yang layak tidak memohon sehingga 30 November (2022), kita (MBSP) akan memulangkan semula baki peruntukan bantuan insentif ini kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya kepada pemberita seusai mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh MBSP di Menara Bandaraya di sini pada 23 November 2021.
Turut serta WHIP Parti, P. David Marshel, Ahmad Rizal Abd. Hamid dam Muhamad Suzuki Ahmad; dan Pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid.
Kata Rozali lagi, para pemohon yang layak hanya perlu melampirkan dokumen tambahan seperti salinan Lesen Perniagaan MBSP, salinan kad pengenalan, salinan penyata akaun dan salinan Pendaftar Syarikat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Terdahulu, Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan insentif bantuan kewangan RM500 secara ‘one-off’ berkaitan memandangkan Kerajaan Persekutuan baru membenarkan pengoperasian semula aktiviti sukan dan kecerdasan di negara ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS