Peniaga kecil berlesen, penjaja bertagging diminta kemas kini butiran akaun bank sebelum 15 Jun

Admin

GEORGE TOWN – Semua peniaga kecil berlesen dan penjaja bertagging di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta untuk mengemas kini butiran akaun bank sebelum 15 Jun 2020 bagi memastikan bayaran bantuan disalurkan dengan mudah dan selamat.

 

AR. Yew Tung Seang.

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, seramai 1,950 peniaga kecil berlesen dan 2,673 penjaja bertagging yang layak bakal menikmati bantuan secara one-off sebanyak RM500.

 

“Pada 6 Mei lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 yang mana salah satu daripadanya adalah bantuan kepada peniaga dan penjaja berlesen di negeri ini.

 

“Bantuan one-off sebanyak RM500 ini akan disalurkan secara berperingkat membabitkan 328 kompleks makanan dan premis perniagaan di sini,” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook @majlisbandaraya.pulaupinang pagi ini.

 

Turut sama, Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

 

Dalam pada itu, Tung Seang berharap para peniaga kecil berlesen dan penjaja bertagging dapat memberi kerjasama dengan mengemas kini butiran akaun bank secepat mungkin bagi tujuan penyaluran bayaran.

 

“Saya berharap dengan bantuan ini sedikit-sebanyak dapat membantu para peniaga kecil berlesen dan penjaja bertagging semasa pandemik COVID-19 ini,” katanya.

 

Para peniaga kecil berlesen dan penjaja bertagging boleh menghantar butiran seperti nama penuh, nombor MyKad, nombor akaun bank dan nama bank ke:

a. E-mel : [email protected]
b. WhatsApp : 019-474 1179 atau 016-468 4969
c. Hantar terus ke Pejabat Pelesenan di Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD