GEORGE TOWN – Peniaga kecil dan penjaja di negeri ini diminta supaya segera mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin di bawah Program Mobalisasi Vaksin Komuniti (MOVAC).
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pendaftaran telah dibuka melalui laman sesawang pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP (www.mbpp.gov.my) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP (www.mbsp.gov.my).
“Program ini khas untuk peniaga kecil dan penjaja di kemudahan – kemudahan awam di negeri ini merangkumi pasar awam, kompleks makanan, peniaga statik sementara, trak bergerak, pasar malam, ‘up town’, penjaja di tapak milik pihak berkuasa tempatan serta mereka yang menjaja di tanah persendirian.
Program akan berlangsung selama empat hari mulai 30 Ogos 2021 hingga 2 September 2021 di lima lokasi terpilih di lima daerah di negeri ini.
“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) mensasarkan seramai 12,000 peniaga kecil dan penjaja divaksinkan melalui program ini,” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook di sini pada 27 Ogos 2021.
Jagdeep sebelum itu mengadakan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Chowrasta bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta beberapa wakil daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Kerajaan Tempatan.
Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat memaklumkan setakat semalam (26 Ogos) seramai 8,375 peniaga kecil dan penjaja telah berdaftar di bawah MOVAC.
Program ini memerlukan peniaga kecil dan penjaja di bawah MBPP dan MBSP mendaftar untuk divaksinkan dan memandangkan dos vaksin adalah terhad maka tiada walk-in (jumpa terus) dibenarkan.
“Saya memohon kerjasama semua peniaga kecil dan penjaja yang masih belum divaksinkan untuk berdaftar bagi membolehkan sasaran imuniti kelompok dicapai,” serunya.
Sementara itu, Tung Seang ketika diminta mengulas memberitahu bahawa para peniaga kecil dan penjaja di negeri ini perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos bagi membolehkan perniagaan mereka beroperasi.
“Sila ambil peluang dan daftarkan diri,” katanya.
Difahamkan, MOVAC adalah inisiatif bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Pulau Pinang, Perbadanan PR1MA Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), MBPP dan MBSP.
Berikut adalah lokasi MOVAC yang bakal dibuka mulai 30 Ogos ini antara pukul 8:30 pagi hingga 3:00 petang, mengikut daerah :
-
Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi – Seberang Perai Utara
-
Kompleks Sukan Jalan Betek – Seberang Perai Tengah
-
Stadium Batu Kawan – Seberang Perai Selatan
-
Stadium Bandaraya – Timur Laut
-
Dewan Perda, Teluk Kumbar – Barat Daya
Sebanyak 10 buah bas yang diubah suai khas akan digunakan bagi melicinkan proses suntikan vaksin yang mana dua buah bas bagi setiap daerah.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : CHAN KOK KUAN