Peniaga lega, parit Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi siap dinaik taraf

Admin
c721e660 a16c 4bc7 8bbe b5f98a08827b ZAIRIL Khir Johari (tengah) dalam sidang media berkaitan selepas mengadakan lawatan tapak susulan di sini pada tengah hari tadi.

BERTAM – Kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan sedia ada sepanjang 241 meter (m) dengan culvert 1.2m X 1.2m dekat Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi yang menelan kos sebanyak RM272,000 telah siap dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Pulau Pinang pada bulan Disember tahun lepas.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberitahu perkara itu selepas membuat lawatan tapak susulan di sini hari ini.

“(Sebelum kerja-kerja menaik taraf dilakukan), kalau hujan dalam sejam atau kurang, kawasan ini akan banjir disebabkan parit yang lama tidak berfungsi, ada masalah struktur dan sebagainya.

“Pada hari ini, kita mendengar maklum balas daripada para peniaga, masalah (banjir kilat) dapat ditangani,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga kepada pemberita di sini tadi.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng kerana telah mengetengahkan isu perparitan yang dihadapi oleh sekalian peniaga di sini sebelum ini.

Bercakap dalam sidang media sama, Hock Peng merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kerana begitu mengambil berat isu infrastruktur kawasan luar bandar terutama di kedua-dua Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS